Azilah, Sirul tak terlibat operasi antara 19-20 Oktober 2006: Saksi

May 20, 2022 · Isu semasa

Pesara polis Datuk Mastor Mohd Ariff, 60, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, tidak terlibat dalam mana-mana operasi, termasuk tugas khas serta sulit, di antara 19 dan 20 Oktober 2006.

“Sekiranya mereka tidak terlibat dalam apa-apa operasi, mereka akan bertugas pada waktu pejabat antara 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes saman RM100 juta yang difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berhubung kematian wanita itu pada 2006.

Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

Menjawab soalan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, Mastor berkata beliau bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap senjata api dan bahan letupan yang disimpan di stor persenjataan ketika bertugas sebagai pegawai pemerintah di Bukit Aman.

Mastor juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa mana-mana anggota tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil senjata api begitu sahaja tanpa kebenaran pegawai atasan, lapor Bernama.

Semalam, pegawai penyiasat bagi kes bunuh Altantuya, Superintenden Tonny Anak Lunggan, 42, memberitahu mahkamah bahawa tiada arahan daripada mana-mana pegawai atasan supaya Sirul Azhar mengeluarkan senjata api dari tempat simpanan di Bukit Aman pada 2006.

Beliau berkata berdasarkan Buku Daftar Keluar Masuk Senjata, Sirul Azhar telah mengeluarkan senjata bernombor siri S98756 jenis MP 5 (S) pada 4 Oktober 2006 dan mengembalikannya pada 8.15 pagi 30 Oktober tahun sama.

Pada prosiding hari ini, seorang lagi pesara polis, Sarjan Mejar Rosli Ibrahim, 51, yang merupakan saksi kedua pihak kerajaan turut memberi keterangan.

Sementara itu, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menetapkan 30 Ogos untuk keputusan kes saman itu selepas saksi plaintif dan defendan selesai memberi keterangan.

Mahkamah juga menetapkan 20 Jun ini untuk plaintif memfailkan hujahan dan 20 Julai bagi defendan menjawab hujahan itu serta 4 Ogos untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas.

Seramai 26 saksi plaintif termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 2019 manakala defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman tersebut.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamarudin yang mewakili kerajaan Malaysia memaklumkan pihaknya menutup kes saman itu selepas Mastor selesai memberi keterangan.

Berita berkaitan
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024· Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024· Isu semasa
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Popular
Covid-19: 76 kematian semalam, Selangor lepasi 700,000 kes positif
October 21, 2021
Selepas disaman Rafizi kata hanya mahu penjelasan Tuan Ibrahim
January 25, 2023
Semua pihak perlu peka isu buli
December 15, 2021
Selama tiga minggu berturut-turut pelabur asing lari dari Malaysia
March 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok