
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di Istana Keadilan di Putrajaya kira-kira jam 8.58 pagi tadi (5 September 2022) untuk mendengar rayuan permohonan membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram RM5.2 juta. - Gambar Heikal Rosli/Agenda Daily
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan terus Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Ironinya, keputusan melibatkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO tersebut dibuat selepas dua minggu kerajaan baharu ‘hoi ya hoi’ terbentuk hasil gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Bekas Ahli Parlimen Baling itu pada 23 September lalu dilepas tanpa dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.
Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan notis usul yang dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad supaya anak guamnya dibebaskan terus daripada semua pertuduhan berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan notis usul Abdul Azeez.
“Oleh kerana tiada bantahan daripada pendakwaan, notis usul ini dibenarkan dan pemohon dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan,” kata hakim dipetik laporan BH.
Sementara itu, Amer Hamzah berkata, pihaknya menerima surat daripasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 Oktober lalu yang menyatakan bahawa siasatan oleh agensi sudah selesai dan kesemua aset yang dirampas sudah dikembalikan.
Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang.
Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.