
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini (Khamis, 9 Mac 2023) mengesahkan bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok.
Kenyataan itu mengesahkan Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang sedang diambil keterangan oleh SPRM Putrajaya tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini.
“Esok beliau dijangka akan didakwa. Bukan hari ini,” katanya menurut laporan BH.
SPRM dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya jam 11.15 pagi tadi bagi memberi keterangan kepada SPRM dipercayai berkaitan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Kehadiran Muhyiddin bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta pemimpin kanan PN dan penyokong diiringi laungan ‘HIDUP RAKYAT’ sebagai slogan rakyat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Kerajaan PH-BN yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan siasatan dan pertuduhan ke atas Muhyiddin sebagai satu permulaan kepada usaha melumpuhkan parti itu.
Menurut Azmin, ia juga permulaan gerakan yang akan berterusan terhadap parti itu.
“Kita lihat ini satu permulaan gerakan masa yang akan berterusan kerana kita lihat ada usaha yang terancang melumpuhkan kebangkitan rakyat,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini (9 Mac 2023).
Azmin berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan di ibu pejabat badan siasatan itu.
Menurut Azmin, dia yakin Muhyiddin tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Saya bersyukur dengan rakyat dan kepimpinan PN turun kerana kita yakin Tan Sri Muhyiddin tidak bersalah dan tidak wajar dituduh atas apa juga pertuduhan.
“Bagaimanapun sebagai pendukung parti yang sentiasa menegaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, integriti, menolak rasuah, kleptokrasi, kami akan terus bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu, dikenakan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.
Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
Pertuduhan-pertuduhan itu adalah berkaitan skim Jana Wibawa – inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.