Azalina letak jawatan Timbalan Speaker, bakal jadi menteri?

Datuk Seri Azalina Othman Said, salah seorang Ahli Parlimen (MP) daripada kem 15 yang bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) hari ini.

Peletakan jawatan Ahli Parlimen Pengerang menimbulkan spekulasi kemungkinan namanya turut berada dalam senarai Kabinet yang bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu ini.

Untuk rekod, Azalina bersama-sama 14 MP UMNO yang lain bertindak menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin sehingga kehilangan majoriti di Dewan Rakyat dan meletak jawatannya.

Azalina memberi alasan keputusan untuk meletak jawatan itu bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan, beliau menyatakan keperluan Dewan Rakyat berfungsi sebagai “forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir negara.”

“Dengan pelantikan perdana menteri baharu dan tuntutan awam yang jelas mahukan kerjasama rentas kepartian, saya telah meletak jawatan (sebagai timbalan speaker).

“Ini untuk memberi kerajaan dan pembangkang ruang lebih luas untuk bertindak memastikan Dewan Rakyat yang mulia ini boleh benar-benar berfungsi sebagai forum kerjasama dan saingan secara professional antara parti mengenai soal urus tadbir dan dasar,” kata Azalina.

Pada Sabtu, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM-9 menggantikan Yassin.

Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai PM selepas hilang majoriti apabila 15 MP UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadapnya.

Percaturan itu menyaksikan Ismail Sabri diangkat sebagai PM bagi memimpin kerajaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR