
Menteri Sumber Manusia daripada DAP, V Sivakumar dan pegawainya sebelum ini disiasat SPRM.
Kerajaan digesa mendedahkan laporan siasatan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa pegawai Menteri Sumber Manusia V Sivakumar kepada umum.
Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu S Subramaniam berkata tindakan Sivakumar memecat pegawai-pegawainya itu menunjukkan wujudnya unsur salahlaku dalam kes kelulusan penggajian pekerja asing.
“Minggu lepas, menteri sendiri mengesahkan telah memecat sekurang-kurangnya dua pegawai yang didakwa terlibat dalam siasatan rasuah ini.
“Ini bermakna, keputusan menteri memecat pegawainya membuktikan ada unsur salahlaku dan rasuah dalam kes ini.
“Jadi, kita meminta Azalina (Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri) mendedahkan laporan siasatan SPRM kepada umum di sidang Parlimen akan datang,” katanya, lapor Malaysiakini.
Menurut Subramaniam, gesaan itu bukan perkara baharu susulan Azlina pernah mengeluarkan laporan kesimpulan siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Parlimen, sebelum ini.
“Sekiranya siasatan seorang hakim mahkamah rayuan boleh didedahkan kepada umum, apa salahnya dedahkan laporan siasatan pegawai-pegawai menteri?,” soalnya.
Untuk rekod, pada 9 Mei, Sivakumar mengesahkan lima pegawainya telah dipecat berhubung skandal rasuah dan salah guna kuasa baru-baru ini yang turut menyaksikan dua daripada mereka ditahan.
Katanya, tindakan berkenaan dilakukan bagi memastikan kementerian dapat terus berfungsi dengan baik.
SPRM pada April lalu menyerbu pejabat kementerian itu di Putrajaya dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.
SPRM turut menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.