Ayob Khan tunjuk rahsia tebar roti canai

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menebar roti canai.

Tiada siapa sangka kemahiran diperoleh di Kedai Kopi Mydin di Pendang, Kedah pada 1978 masih terus diasah sehingga sekarang.

Di sebalik uniform Sang Saka Biru dan ketegasan memastikan negara ini aman, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak lupa kepada pengalaman diperoleh ketika berusia 12 tahun.

Pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ), di Johor Bahru, awal pagi tadi, beliau menunjukkan kemahiran menebar roti canai

Beliau tanpa rasa kekok menebar dua biji roti canai sambil bergurau mesra dengan pengamal media pada program santai berkenaan.

Katanya, kemahiran menebar roti canai itu dimiliknya sejak kecil ketika membantu bapanya di sebuah kedai makan di Pendang, Kedah.

“Saya belajar tebar roti canai ini pada tahun 1978 waktu itu saya berumur 12 tahun, membantu orang tua saya di kedai makan,” katanya.

Satu rakaman video pendek berdurasi 64 saat memaparkan ‘aksi’ beliau menyediakan juadah kegemaran segenap lapisan rakyat Malaysia itu juga turut tersebar di media sosial.

POPULAR