
Pakar kesihatan memberi amaran mengenai gelombang baharu Covid-19 di Malaysia setelah sub-varian Omicron BA.5 merebak dengan pantas.
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran dan menggesa orang ramai untuk memberi perhatian serius berhubung penularan sub-varian baharu Omicron – BA.4 dan BA.4 – di beberapa negara.
Ini kerana kedua-dua sub-varian berkenaan lebih mudah merebak berbanding sub-varian Omicron sedia ada, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak mengabaikan langkah pencegahan jangkitan bagi mengelakkan peningkatan semula kes Covid-19, selain sentiasa membuat penilaian risiko kendiri dan mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian
Menurutnya Malaysia mencatatkan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital awam antara 26 Jun dan 2 Julai, dikenali sebagai minggu epidemiologi (ME) ke-26.
Dr Noor Hisham berkata kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 orang telah meningkat sebanyak 22 peratus.
Katanya, jumlah jangkitan baharu juga meningkat 6.1 peratus dalam tempoh yang sama, berbanding ME sebelumnya.
Jumlah kematian semasa ME ke-26 meningkat dua kali ganda daripada 13 kepada 26, kata Dr Noor Hisham.
Begitu juga, beliau berkata terdapat peningkatan di seluruh negara dalam jumlah kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19.
Menurutnya bilangan pesakit yang menjalani pemantauan kendiri di rumah juga meningkat kira-kira 22.9 peratus.
Peningkatan terbaharu dalam statistik itu berlaku tatkala KKM mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap dua sub-varian baharu virus Omicron Covid-19 yang kelihatan semakin menular di negara ini menjelang sambutan Aidiladha pada 10 Julai.