AWAS! Kadar kebolehjangkitan Covid-19 semakin naik

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam (23 Mei 2021) untuk seluruh negara adalah 1.21, tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi statistik Ro/Rt di laman Facebook beliau yang menunjukkan kadar Ro di seluruh negara tidak pernah turun sejak seminggu lalu.

Nilai R adalah kebolehjangkitan satu kes positif kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Contohnya jika Nilai R 2.2 bermaksud: 10 kes positif boleh menjangkiti 22 individu lain dalam tempoh kebolehjangkitan.

Nilai R digunakan untuk meramal berapa orang yang mungkin akan mendapat jangkitan. Semakin tinggi Nilai R, semakin ramai yang akan mendapat jangkitan.

Pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 10 Mac 2020, Nilai R ketika itu adalah 3.5. Nilai R ini telah berjaya diturunkan sehingga 0.3, iaitu susulan impak positif tindakan yang telah diambil oleh kerajaan serta pematuhan oleh rakyat kepada perintah dan SOP yang diperkenalkan.

Berdasarkan grafik yang dikongsi Dr Noor Hisham hari ini, menunjukkan sejak 16 Mei, nilai Ro meningkat mendadak daripada 1.05 kepada 1.18 pada 22 Mei, sebelum meningkat kepada 1.21 semalam.

Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai nilai Ro tertinggi dengan 1.76, manakala Perlis (1.58) dan masing-masing 1.30 di Negeri Sembilan dan Terengganu.

Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Melaka, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Pahang, Perak and Sarawak merekodkan Ro di bawah 1.27.

Semalam, kes Covid-19 di Malaysia mencatat rekod tertinggi apabila 6,976 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari.

Dalam tempoh itu juga, 49 kes kematian termasuk satu bukan warganegara akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kepada 2,248 kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR