Awan kumulonimbus bawa ribut petir di Pulau Pinang semalam: Met Malaysia

Ratusan penunggang motosikal yang melalui kedua-dua belah Jambatan Pulau Pinang terpaksa berhenti susulan ribut kuat yang melanda laluan itu, petang semalam

Menerusi klip video yang tular di media sosial sejak malam tadi, kebanyakan penunggang motosikal bimbang untuk meneruskan perjalanan kerana angin kencang yang bertiup dan terpaksa berhenti di tengah-tengah jambatan itu.

Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku sebelum ribut reda kira-kira setengah jam kemudian.

Sementara itu Bernama melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Pulau Pinang memaklumkan kejadian angin kencang yang berlaku di Pulau Pinang semalam berpunca daripada awan kumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil.

MetMalaysia Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata keadaan itu boleh berlaku pada sebelah petang sepanjang minggu ini dan pihaknya akan sentiasa memantau serta mengemas kini amaran cuaca dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan pemantauan MetMalaysia Pulau Pinang, Stesen Meteorologi Butterworth telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 19.4 milimeter (mm) pada pukul 6 petang semalam manakala Stesen Meteorologi Pencemaran Udara Perai, merekodkan jumlah hujan sebanyak 8.4 mm.

“Stesen Meteorologi Bayan Lepas pula merekodkan jumlah hujan sebanyak 4.8mm juga bagi tempoh sama dan pihak kami akan terus memantau serta mengemas kini amaran cuaca supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau di Pulau Pinang pada kira-kira 5 petang semalam, banyak pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata kelajuan angin yang direkodkan sewaktu kejadian ribut semalam adalah sekitar 68 kilometer sejam.

Katanya berdasarkan pemantauan dan maklumat diterima pihaknya mendapati 25 lokasi di Pulau Pinang dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang dan dua lokasi merekodkan kejadian struktur bumbung diterbangkan angin.

“Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dengan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang dan hari ini mereka meneruskan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang yang dijangka dapat diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR