
Satu lagi projek pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Syarikat Austria Technologie & Systemtechnic AG (AT&S) berpangkalan di Austria akan melabur sebanyak RM8.5 bilion bagi membangunkan fasiliti perkilangan mereka yang pertama di Asia Tenggara, iaitu di Kulim High Technology Park (KHTP), Kedah.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memaklumkan perkara itu berkata, komitmen yang diberikan oleh syarikat ini hasil kerja keras kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil pendekatan mesra pelabur meskipun dunia kini berhadapan dengan cabaran getir susulan penularan wabak Covid-19.
Menyifatkan ia sebagai satu kejayaan besar negara, Muhyiddin menegaskan Malaysia akan terus menarik lebih ramai pelabur untuk datang ke Malaysia sekali gus dapat mencipta pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia telah menyuarakan perasaan sukacita dan amat mengalu-alukan keputusan syarikat AT&S untuk melabur di Malaysia.
“Projek tersebut juga adalah merupakan salah satu projek pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“Dengan pelaksanaan projek itu kelak, ianya dijangka akan dapat menjana 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, Kerajaan Malaysia sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke Malaysia, lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi dan inovasi serta sentiasa bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.
Tambahnya lagi, pelaburan daripada AT&S ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.
Semalam Muhyiddin mengadakan mesyuarat secara maya bersama syarikat itu yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Andreas Gerstenmayer, serta barisan utama pihak pengurusan syarikat tersebut.
Mesyuarat tersebut turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Hasil daripada mesyuarat itu syarikat AT&S menyatakan komitmen untuk melabur di Kulim.
AT&S adalah pengeluar utama dunia bagi produk high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates.
Pelaburan AT&S di KHTP bagi mengeluarkan PCB dan IC substrates akan bermula pada separuh kedua tahun ini, manakala aktiviti komersial pula dijangka bermula pada tahun 2024.
Nilai pelaburan syarikat AT&S ini merupakan yang terbesar dalam sejarah syarikat berkenaan.