ATM perketat kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan lagi kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat (KALBAR), Indonesia, susulan rancangan pembukaan semula sempadan negara yang dicadangkan bermula 1 Mac depan.

Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) dipertanggungjawabkan untuk tindakan itu, bagi mengekang pencerobohan, terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Jurucakapnya dalam satu kenyataan berkata kawalan ketat juga perlu dilaksanakan bagi mengelak lonjakan kes jangkitan Covid-19.

“Justeru itu, bagi menentukan kedaulatan Wilayah 2 dipertahankan, PMTTD akan mempamerkan kehadiran dan pengawasan tentera di kawasan operasi dengan mengekalkan penempatan di Kem/Pos JPG tetap.

“Pelaksanaan rondaan berkala, Serang Tangkap (SERKAP), pengawasan serta pemerhatian dan melakukan pemeriksaan dan pengawalan di KTJ bertujuan mendominasi dan menghalang sebarang bentuk ancaman keselamatan, mencegah penyeludupan, kemasukan PATI serta aktiviti-aktiviti lintas batas di sempadan akan dipergiatkan,” katanya.

Tidak keterlaluan andai dikatakan PMTTD kini giat mengasah ‘taring’ menerusi pembinaan 21 Pos Imbangan baharu untuk ‘membaham’ sebarang ketirisan di pintu masuk negara, kata kenyataan itu.

Mengulas respon Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad ketika taklimat operasi oleh Pegawai Operasi dan Latihan 3 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Pos Padang Pan, Kapten Mohd Izwan Abdul Halim, Mardzuki menekankan prinsip fleksibiliti dalam pelaksanaan tugas agar momentum pembinaan dapat dipacu dengan lebih efektif dan dinamik.

“Meskipun terkekang atas beberapa faktor, profesionalisme warga ‘Combat Engineer’ 3 Skn RAJD yang diperkuatkan lagi dengan dokongan anggota 10 RRD ini tetap utuh bagi memastikan kesiagaan Wilayah 2 dalam trajektori mapan demi kelestarian integriti sempadan Sarawak/Kalimantan,” katanya.

Untuk rekod, proses pembinaan yang bermula sejak 17 Mei 21 lalu dan menelan belanja RM 6 juta ini merupakan penampan bagi sebarang potensi kebocoran di jajaran KALBAR dan seterusnya memastikan sempadan Wilayah 2 kekal utuh.

Sementara itu rancangan pembinaan Pos Serikin telah diusulkan berdasarkan kapasiti lokaliti yang menjadi tumpuan PATI menyeludup produk dari KALBAR tanpa kawalan yang efektif hingga menjadikan Serikin masyhur dengan jolokan ‘Medan Penjaja’ berkonsepkan pekan sehari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.

Menurut sumber tempatan, dikhabarkan kerajaan negeri berhasrat untuk membina Kompleks CIQ di kawasan am Serikin agar barter trading mampu dilaksanakan di premis berkenaan kelak.

Untuk rekod, sehingga akhir Disember 2021 lalu, PMTTD merampas barangan bernilai lebih RM23,68 juta, dan menangkap 1,534 PATI serta 50 penyeludup.

BERITA BERKAIT
POPULAR