Atasi stress, diet sihat elak sakit rahang

Pernah tak anda mengalami keadaan apabila bangun tidur pada waktu pagi, anda berasa sakit hendak membuka mulut dan pipi terasa bengkak?

Mungkin anda mengalami tekanan fikiran atau stres dengan masalah malam sebelumnya? Tahukah anda sebenarnya stres boleh menjadi punca kepada sakit rahang?

Menurut pakar pergigian, Dr. Irma Shida Abu Samah, masalah kawasan rahang ini tidaklah dianggap sebagai satu penyakit tetapi ia lebih popular dengan gelaran Tempora­mandibular Joint Pain Disfunction Syndrome (TMPDS),” katanya.

Tambahnya, masalah TMJPDS terbahagi kepada dua. Ini termasuk melibatkan otot kebarangkalian terjadi adalah lebih kerap. Selain itu, pesakit akan mengadu sakit pada otot muka dan boleh juga menyebabkan pembesaran otot yang terlibat dalam pengunyahan.

“Masalah ini selalu terjadi kepada yang suka mengunyah pada waktu malam tanpa sedar (bruxism) atau suka mengetap gigi setiap masa atau semasa stress (clenching).

“Kadangkala tabiat buruk seperti menggigit pensel, menggigit dengan posisi rahang yang tidak betul dan mengepit telefon di antara telinga dan bahu semasa berbual juga boleh menyumbang ke arah masalah ini. Tampalan gigi yang tidak sempurna juga boleh menyumbang kepada TMJPDS,” ujarnya.

Dr. Irma memberitahu, masalah TMJPDS jenis kedua melibatkan sendi rahang itu sendiri. Masalah ini berlaku apabila terdapat perubahan kedudukan sendi atau sendi terkeluar dari soketnya.

“TMJPDS boleh dialami sama ada salah satu sendi atau kedua-duanya sekali. Tanda- tanda mereka yang mengalami masalah rahang TMJPDS ialah sakit pada kawasan sendi rahang dan otot pipi apabila terjaga pada waktu malam dan bangun pagi.

“Selain itu, gejala ini melibatkan sakit sendi rahang semasa mengunyah, menggigit, bercakap dan menguap, rasa sendat dan ketat ketika membuka dan menutup mulut, rahang berbunyi klik apabila digerakkan, sakit kawasan telinga berdekatan rahang yang terlibat, sakit kepala dan tengkuk tegang,” jelasnya.

Ada juga keadaan rahang dibuka terlalu luas ketika menguap atau ketawa besar, sendi rahang terus terkeluar dari soketnya dan mulut tidak dapat ditutup.

Keadaan ini, jelas beliau, digelar lockjaw dan sendi yang terlibat boleh dimasukkan kembali ke dalam soketnya secara menggerak-gerakkan rahang bawah dan perlahan-lahan masuk ke dalam soketnya semula. Ia kadangkala boleh dilakukan pesakit sendiri jika perkara ini sudah pernah berlaku kepadanya.

“Jika tidak berjaya, boleh ke klinik gigi untuk doktor gigi memposisi semula sendi rahang ke kedudukan asal. Jangan takut kerana prosedur ini tidak menyakitkan, anda cuma perlu bertenang, rehatkan rahang, tenangkan diri serta sentiasa mendengar arahan doktor supaya prosedur berjalan mudah.

“Kebanyakan masalah rahang yang disebut di atas bukanlah ancaman kepada kesihatan selagi tidak berkait dengan patologi tulang atau tisu lembut di kawasan itu. Ia selalunya self-limiting iaitu jarang menjadi satu keadaan serius dan selalunya sembuh dengan sendirinya,” katanya.

Kajian menunjukkan 90 peratus penghidap TMJPDS sembuh dengan sendiri tanpa rawatan definitif.

Tetapi dalam kes-kes tertentu terdapat beberapa usaha yang boleh dilakukan seperti memperbetulkan permukaan gigitan supaya gigitan pesakit lebih stabil dan tidak tinggi sebelah menyebabkan gigitan tidak simetri dan akan menyumbang kepada bebanan unilateral rahang.

“Doktor juga boleh membuat mouthguard untuk masalah gigitan kuat dan mengunyah gigi pada waktu malam. Pek ais boleh melegakan otot bengkak, begitu juga urutan lembut,”ujarnya.

Dalam pada itu, kata Dr. Irma, perkara utama yang boleh menjadi penyebab TMJPDS adalah stres dan kita perlu belajar menangani stres dengan bijak baik dari segi fizikal, emosional dan diet.

“Buat jadual tidur teratur supaya anda tidur lebih nyenyak sekali gus dapat menghentikan tabiat mengunyah dan mengetap gigi semasa tidur.

“Pastikan diet anda membantu dalam menangani stres dengan jadual makan teratur, ambil makanan yang sihat untuk mengelakkan penyakit serta elakkan kafein selepas pukul 6 petang untuk tidur malam yang lebih nyenyak. Sentiasa tenangkan hati dan bersikap positif,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR