Asyraf tarik Najib tuntut i-Citra one-off, tak peduli masa depan rakyat

Seorang pakar ekonomi berpendapat memang wajar kerajaan tidak membenarkan pengeluaran i-Citra one-off  RM10,000 demi masa depan pencarum, bukan kerana tidak mampu berbuat demikian.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beberapa pendedahan yang dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan dengan jelas kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang persaraan yang mencukupi selepas bersara.

“Isunya bukan kerajaan tidak mampu tetapi lebih kepada berhati-hati kerana apa yang dikongsi oleh pihak KWSP adalah kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaun KWSP mereka,” katanya semalam.

Namun, berbeza dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilihat masih mempertahankan tuntutan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran one-off itu, walaupun langkah itu akan menyebabkan pencarum KWSP berdepan masalah ketika bersara nanti.

Walaupun, KWSP memberikan statistik berkaitan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra menyebabkan simpanan pencarum, khususnya Bumiputera merosot teruk, Asyraf Wajdi dan Pemuda UMNO tidak mempedulikannya.

Sebaliknya kali ini, Asyraf Wajdi yang tidak boleh berucap di Dewan Rakyat kerana bukan Ahli Parlimen (MP) meminta bantuan MP Pekan, Datuk Seri Najib Razak untuk membangkitkan tuntutan itu ketika membahaskan Bajet 2022 kelmarin.

“Sempat berhubung dengan Datuk Seri Najib Razak kelmarin agar beliau dapat bawakan suara majoriti rakyat yang masih mengharapkan pengeluaran i-Citra KWSP dalam Ucapan Perbahasan Bajet 2022 petang ini,” kata Asyraf Wajdi.

Seperti dijanjikan, Najib turut memperjuangkan perkara itu di Dewan Rakyat kelmarin, kononnya ia adalah ‘tuntutan rakyat’ .

Sebelum ini, KWSP mendedahkan seramai 6.1 juta pencarum kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka, dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang RM1,000.

Baki simpanan yang dimiliki pencarum terbabit berkurangan susulan pengeluaran dibuat ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu, menerusi i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra.

Jumlah pengeluaran bagi ketiga-tiga kemudahan itu membabitkan RM101 bilion yang diserahkan kepada 7.4 juta ahli atau lebih separuh daripada jumlah keseluruhan ahli, kata Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam kenyataan media.

Dalam kenyataan itu KWSP juga berharap pertimbangan teliti diberikan sebelum sebarang pengeluaran luar biasa tambahan diluluskan pada masa hadapan bagi melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka. Berita berkaitan

Ini adalah antara sebab mengapa kerajaan menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan tidak menyentuh mengenai pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off.

Namun, menyedari kemarahan orang ramai terhadapnya dan Pemuda UMNO di atas ‘pembohongan’ yang dibuat mengenai pengeluaran one-off RM10,000 itu, Asyraf mengubah sedikit syarat tuntutan itu.

Sebelum ini beliau dan Pemuda UMNO membuat tuntutan pengeluaran itu secara umum. Namun kelmarin beliau berkata lain pula.

“Cuma kali ini bagi Pemuda UMNO, penuhilah permintaan lebih 56% rakyat yang masih punya simpanan melebihi RM10k terutamanya di kalangan M40 ke atas untuk mereka memulakan kehidupan baharu pasca pandemik dengan pelbagai komitmen tertunggak yang perlu dilangsaikan,” katanya.

Beliau juga berkata pengeluaran one-off itu boleh dijadikan sebagai ‘pengeluaran KWSP kali terakhir’ kerana sektor ekonomi telah dibuka semula dan pandemik Covid-19 juga semakin beransur pulih untuk memasuki fasa endemik.

“Kerajaan melalui KWSP boleh mencadangkan pula pendekatan terbaik untuk menampung kembali pengeluaran besar simpanan hari tua rakyat dengan pelbagai inisiatif pelaburan dan penambahan komitmen caruman tatkala ekonomi kembali pulih kelak.

“InsyaAllah Pemuda UMNO tidak pernah berhenti daripada menjadi penyambung lidah rakyat dan akan terus memperjuangkan isu-isu rakyat terutamanya yang susah, resah dan terdesak untuk memenuhi keperluan dan meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam Facebook kelmarin.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz langsung tidak menyebut mengenai i-Citra one-off dalam ucapan Bajet 2022.

Asyraf Wajdi juga seolah-olah menempelak kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak meluluskan tuntutan pengeluaran one-off itu.

Sedangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah menawarkan i-Sinar dan i-Lestari.

“Dulu waktu Pemuda UMNO bersama Datuk Seri Najib Razak bersuara dan memperjuangkan agenda yang sama, alasan serupa juga diberikan Menteri Kewangan waktu itu Tengku Zafrul dengan memberikan statistik hampir sama bahawa 46% tidak punya simpanan melebihi RM10k dan menjejaskan simpanan hari tua rakyat.

“Namun selepas desakan berterusan akhirnya kerajaan akur jua dengan menawarkan i-Sinar dan i-Lestari.

“Kali ini masih Menteri Kewangan sama iaitu Tengku Zafrul walaupun nakhoda kerajaan sudah bertukar,” katanya.

Berita berkaitan 

BERITA BERKAIT
POPULAR