Asyraf beri peringatan kepada PM ikut ketetapan MT UMNO dalam isu KWSP

Tidak berpuas hati dengan pendirian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam isu pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pemuda UMNO memberi peringatan kepada Perdana Menteri (PM) supaya mengikut ketetapan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa MT UMNO sudah sudah meletak garis panduan kepada Ismail Sabri dalam isu pengeluaran KWSP dan menuntut beliau mematuhinya kerana ia merupakan syarat yang wajar dituruti.

“Selagi MT belum menarik balik ketetapan ini, garis panduan ini masih terpakai,” katanya pada hantaran di Facebook.

Berhubung tuntutan pengeluaran i-Citra itu, Asyraf berkata ia bagi “memenuhi hasrat dan menyantuni tuntutan rakyat” yang terdesak sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pasca PKP.

Jelasnya lagi, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya menegaskan kembali ketetapan MT UMNO pada 27 Ogos 2021 ketika menggariskan beberapa panduan utama kepada Ismail Sabri.

Asyraf turut memuat naik kenyataan Zahid yang meminta kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak membenarkan pengeluaran tersebut, serta kenyataan media mesyuarat MT yang diperkatakan itu.

Antara lain, kenyataan media itu menuntut kerajaan menambah baik pakej bantuan rakyat, moratorium tanpa faedah terakru, bantuan kepada pengusaha yang terjejas oleh pandemik Covid-19, dan “pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000”.

Zahid dan Asyraf antara pihak yang terus memperjuangkan pengeluaran KWSP RM10,000 secara sekali keluar, lebih-lebih lagi apabila beberapa negeri dilanda musibah banjir.

Semalam, Ismail Sabri menegaskan kecaman dan desakan individu tertentu berhubung isu pengeluaran i-Citra KWSP tidak akan memberi kesan kepadanya dalam meneruskan usaha membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.

Ismail Sabri tidak menamakan individu mendesaknya berhubung isu pengeluaran KWSP, namun diketahui umum Asyraf dan Zahid serta bekas PM, Datuk Seri Najib Razak yang lantang membangkitkan isu tersebut.

“… yang tidak berpuas hati, mengecam akan terus berasa begitu di media sosial. Masing-masing ada tugas masing-masing.

“Saya harap kita semua tidak terkesan dengan serangan yang dibuat kerana kita menjalankan tanggungjawab… biarkan.. dan (ini) tidak akan menyekat saya daripada terus bekerja,” katanya dipetik dalam satu program di Temerloh semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menekankan pentadbirannya memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian jangka panjang masalah banjir secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko dan jumlah lokasi terjejas akibat bencana itu pada masa depan.

Jelasnya perkara itu menjadi agenda utama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sebaik sahaja operasi pascabanjir selesai, dan ia melibatkan kerajaan negeri, kementerian dan agensi kerajaan serta pakar dalam bidang berkaitan khususnya dalam aspek pengairan dan saliran.

“Kita akan cari dan bincangkan apa sahaja modul yang sesuai digunakan untuk menyelesaikan masalah ini, dan jika ia tidak boleh dilaksanakan secara serentak di Malaysia, fokus akan diberikan di daerah atau kawasan berisiko tinggi banjir.

“Rancangan jangka panjang memerlukan kos yang besar tetapi ia membantu mengurangkan kos dikeluarkan kerajaan setiap kali banjir dan setakat ini, kita telah membelanjakan RM1.4 bilion untuk bantuan sahaja, dan jumlah ini dijangka bertambah kerana kita belum menerima laporan penuh kerosakan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Ekonomi PM, Shahril Sufian Hamdan mempertahankan keputusan bosnya berhubung isu pengeluaran i-citra KWSP dengan menjelaskan rasional disebalik langkah tersebut.

“Semua maklum bahawa pinjaman dari bank atau institusi seperti Tekun perlu dibayar semula. Dalam kes ini, hanya perlu bayar semula amaun pokok sahaja sebab tiada caj faedah.

“Namun, pengeluaran KWSP juga adalah konsep meminjam iaitu meminjam dari masa depan sendiri. Kosnya ialah lima atau enam peratus setiap tahun, iaitu pendapatan dividen KWSP setiap tahun.

“Jika kita keluarkan RM10,000, dalam masa lima tahun sahaja sudah rugi hampir RM3,000 kerana terlepas pendapatan dividen yang dikompaun dari tahun ke tahun.

“Dalam masa 10 tahun, hampir RM7,000 pendapatan yang sepatutnya ada, sudah tiada,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BERITA BERKAIT
POPULAR