Asyraf bagai Menteri Kewangan, bentang fakta kenapa RM10k boleh dikeluarkan

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang berjuang mati-matian kecewa apabila kerajaan kekal tidak mahu membenarkan pengeluaran RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off.

Sambil menyifatkan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai tidak mempunyai perasaan terhadap kesulitan rakyat, Asyraf berkata Menteri Kewangan itu hanya mengemukakan pelbagai alasan dangkal kerana dari awal beliau sememangnya menolak i-Citra.

“Nak seribu daya, tak nak seribu dalih! Janganlah angkuh sangat, dengarlah suara hati rakyat yang amat susah di bawah! Beliau (Tengku Zafrul) hanya mengemukakan pelbagai alasan dangkal kerana dari awal beliau sememangnya mahu menolak i-Citra.

“Yang sebenarnya, KWSP tidak perlu menjual aset kewangan pegangan ke dalam pasaran seperti mana yang disebut oleh Menteri Kewangan bagi mencairkan aset untuk pelaksanaan i-Citra,” katanya dalam kenyataan mengulas penggulungan perbahasan oleh Tengku Zafrul di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Asyraf mengharapkan ada berita baik mengenai tuntutan pengeluaran kali terakhir i-Citra KWSP RM10,000 sebelum Tengku Zafrul menggulung perbahasan di Dewan Rakyat. Berita berkaitan

Bagaimanapun beberapa jam kemudian Asyraf melahirkan kekecewaan apabila dalam penggulungan perbahasan itu Tengku Zafrul kekal memberi beberapa sebab pengeluaran caruman RM10,000 tidak dapat dibenarkan.

Dalam penggulungan itu, Tengku Zafrul berkata jika pengeluaran tambahan dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih daripada nilai pengeluaran berjumlah lebih RM63 bilion.

“Jadi kalau kita nak sediakan nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion, KWSP perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran yang tidak menentu dan juga memperhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh jangka pendek dan sederhana,” katanya. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata Tengku Zafrul masih mengulangi hujah yang sama untuk menafikan pengeluaran KWSP.

“Bagaikan sudah mati rasa dan tidak mahu memahami kesulitan, kesusahan dan keperitan rakyat yang mahu memulakan kehidupan pasca pandemik ketika ini.

“Saya tidak merasakan semua 6.3 juta rakyat akan mengeluarkan wang simpanan mereka sehingga memberikan implikasi RM63 bilion. Jika dilihat trend pengeluaran i-Citra pun hanya RM21 bilion. Takkan lah pengeluaran kali terakhir sampai RM63 bilion?,” katanya.

Beliau menjangkakan jika kerajaan membenarkan i-Citra Plus buat kali terakhir, berkemungkinan hanya melibatkan sekitar RM20 bilion sahaja atau lebih rendah berbanding i-Citra terdahulu.

“Bermakna hanya 2% daripada jumlah aset pelaburan KWSP yang berjumlah RM1 trilion. Jadi kenapa susah sangat nak memenuhi tuntutan rakyat yang amat memerlukan ketika ini?,” soal beliau.

Menurut Asyraf kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan Bank Negara membeli sementara aset-aset kewangan KWSP yang hendak dicairkan dan ditukar dengan newly created Reserves oleh Bank Negara (tiada cetak wang berlaku).

“Impaknya adalah balance sheet Bank Negara akan meningkat, itu sahaja. Sekiranya kaedah ini dilaksanakan, tiada masalah kecairan mahupun kejatuhan harga aset kewangan akan berlaku seperti yang Tengku Zafrul gambarkan.

“Oleh kerana kaedah ini tidak menyebabkan harga bond Kerajaan (MGS – Malaysian Government Securities) jatuh, maka kadar bunga pasaran bagi bond Kerajaan juga tidak akan naik.

“Malah, disebabkan cara ini akan menambahkan rizab kecairan (liquidiy reserves) dalam pasaran, maka ia berupaya untuk menyebabkan kadar faedah bond Kerajaan menurun, bukan meningkat seperti apa yang digambarkan oleh Menteri Kewangan,” kata Asyraf yang memiliki Sarjana Ekonomi, Perbankan dan Kewangan Islam.

Asyraf yang juga memiliki PhD dalam Perbankan dan Kewangan Islam daripada Loughborough University, United Kingdom berkata kaedah itu dinamakan sebagai Unconventional Monetary Policy, dan ianya dilaksanakan secara meluas oleh Bank Pusat di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Indonesia dan beberapa negara lain bagi menstabilkan pasaran kewangan ketika pandemik ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR