Asyik lawan sesama sendiri, kurang lawan Covid-19: KP Kesihatan

June 19, 2021 · Isu semasa

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kecewa kerana rakyat Malaysia masih berlawan sesama sendiri memberi pelbagai pendapat berhubung pandemik Covid-19 yang melanda negara lebih setahun lalu.

Malah katanya, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak masih menjadi isu.

Beliau berkata, semangat perpaduan yang rendah untuk memerangi Covid-19 dan kurang mematuhi SOP menyumbang kepada peningkatan kes positif setiap hari

“Saya fikir ia masih kurang kerana terdapat perselisihan dari segi perpaduan, kita berlawan sesama sendiri dari segi pendapat, pendekatan dan sebagainya, dan bukannya melawan menentang virus ini,” katanya dalam ucap tamanya pada Webinar Antarabangsa Malaysia Pertama mengenai Bantuan Awal Psikologi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.

Dr Noor Hisham turut memberi jaminan bahawa semasa krisis ini, setiap keputusan dibuat dengan pertimbangan mendalam.

“Apabila anda mempunyai kehidupan dan mata pencarian, keseimbangan antara kesihatan dengan ekonomi, bagaimana anda mewujudkan keseimbangan yang betul, ini sangat sukar dan mencabar…untuk mendapat kesan yang minimum pada ekonomi dan hasil maksimum pada kesihatan.

“Inilah sebabnya mengapa kadang-kadang ia tidak mudah, kerana anda perlu mengambil pertimbangan banyak perkara sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata tiada sebarang kes miokarditis dan perikarditis susulan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA dikesan di Malaysia setakat ini.

Katanya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menjalankan penilaian risiko ke atas isu keselamatan berkaitan perkara itu berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada badan-badan regulatori dan rujukan antarabangsa.

“Kementerian Kesihatan Malaysia merumuskan bahawa profil keselamatan vaksin ini kekal positif dan penggunaannya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak terjejas.

Miokarditis merupakan radang pada otot jantung manakala perikarditis pula merujuk kepada radang pada lapisan luar jantung. Simptom atau gejala yang dikaitkan dengan miokarditis dan perikarditis termasuk sakit dada, perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas.

Sebelum ini beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura melaporkan mengenai risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA.

Beliau berkata ketika ini hanya satu jenis vaksin mRNA sahaja iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia.

Menurutnya hingga 13 Jun lepas, sejumlah 2,793,826 vaksin jenis itu diberikan kepada rakyat negara ini melibatkan sebanyak 1,676,959 dos pertama dan 1,116, 867 dos kedua.

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
ADC PM kembali ke pasukan polis, mula bertugas di Bukit Aman 1 Jun
May 23, 2022
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Warga Israel masuk Malaysia guna pasport St Kitts, Nevis: KP Imigresen
October 19, 2022
Isteri pelakon utama filem Anwar fail nusyuz
July 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok