Aset kementerian diarah ke kawasan dilanda banjir: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera.

Dalam catatan di laman Facebook beliau malam ini, Ismail Sabri berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memberi taklimat kepadanya pada Jumaat mengenai keadaan banjir yang melanda beberapa negeri ekoran hujan lebat berterusan, lapor Bernama.

Perdana Menteri berkata beliau telah bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani supaya menggunakan aset tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di PPS.

“Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi-agensi terlibat,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata NADMA juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka mempunyai maklumat mangsa banjir.

“Pengumpulan maklumat ini dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri meminta Keluarga Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.

“Jaga keselamatan diri dan keluarga.

“Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah-langkah dan tindakan yang dilaksanakan,” kata Ismail Sabri.

BERITA BERKAIT
POPULAR