
Tanjung Piai di pantai barat Johor adalah antara titik pendaratan utama pendatang asing tanpa izin dari Indonesia.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor berkata, kawasan pantai negeri itu menjadi titik panas tumpuan sindiket penyeludupan manusia yang membawa masuk pendatang tanpa izin dari Indonesia untuk menjadi pembantu rumah.
Pengarah APMM Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata laluan penyeludupan yang digunakan untuk tujuan itu dikesan di kedua-dua pantai timur dan barat Johor.
Beliau berkata Pontian dan Tanjung Piai adalah titik pendaratan utama di pantai barat, manakala Tanjung Penyusop ke Tanjung Balau di timur, yang digunakan untuk menyeludup manusia ke negara ini dan juga keluar.
Nurul Hizam berkata sindiket biasanya akan menemu bual pendatang secara dalam talian sebelum mengatur untuk menyeludup mereka.
“Bayaran sindiket boleh berkisar antara RM500 hingga RM3,000, bergantung kepada jenis bot dan tahap kesukaran untuk membawa masuk atau membantu mereka keluar,” katanya menurut The Star.
Beliau dipetik sebagai berkata, beberapa sindiket yang lebih besar menggunakan bot laju dengan kapasiti penumpang yang lebih besar.
Menurutnya, pada 18 Januari lalu, APMM Johor menyelamatkan enam pendatang tanpa izin yang cuba diseludup masuk melalui Pontian apabila bot yang mereka naiki karam selepas dipukul ombak kuat.
Terdapat dua lelaki dan sebelas wanita di atas bot, dengan tujuh wanita masih hilang.
“Siasatan awal mendapati dua lelaki itu adalah ‘tekong’ manakala wanita terbabit datang bekerja dalam sektor perkhidmatan,” kata Nurul Hizam.
Secara berasingan, duta Indonesia ke Malaysia Hermono memberi amaran kepada warganegaranya supaya tidak memasuki Malaysia secara haram untuk mencari pekerjaan, dengan mengatakan tindakan itu akan menyebabkan mereka terdedah kepada eksploitasi.
Beliau menasihatkan agar mereka menggunakan Sistem Satu Saluran (OCS) yang dibenarkan seperti yang digariskan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia-Indonesia.
“Mereka berisiko dieksploitasi dan diperdagangkan oleh individu tertentu jika menggunakan saluran lain.
“Kami tidak mempunyai data mereka, hubungan mereka, keadaan kerja dan kontrak mereka dan juga data majikan… jadi ia akan berisiko untuk mereka,” katanya.