Aplikasi SELangkah tempah vaksin tanpa persetujuan orang ramai, kata CITF

Siasatan awal mendapati banyak tempahan vaksin AstraZeneca yang dibuat menerusi aplikasi yang dibangunkan kerajaan Selangor, SELangkah tidak mendapat persetujuan orang ramai, dedah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).

Berbeza dengan semua negeri lain yang menggunakan aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan pusat, Selangor satu-satunya menggunakan aplikasi sendiri yang sebelum ini sudah dikaitkan dengan banyak permasalahan.

Terbaharu hari ini CITF mendedahkan mereka mengenal pasti kewujudan sebilangan individu yang diberikan tarikh janji temu vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka tempoh hari.

Menurut kenyataan tersebut, ia termasuk termasuk aduan janji temu yang diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.

“Semakan dan siasatan mendapati beberapa slot vaksin AstraZeneca ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit untuk menerima vaksin AstraZeneca.

“CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai ini dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, CITF juga berkata sudah menghubungi salah satu kumpulan yang membuat tempahan slot dalam jumlah ramai menerusi aplikasi SELangkah.

“Pihak SELangkah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit dan memastikan individu terbabit akan mendapatkan semula anji temu yang ditempahnya sebelum ini.

“Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, pihak SELangkah juga mengeluarkan satu kenyataan menafikan pihak CITF menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tempahan tersebut.

Pihak SELangkah juga dalam kenyataan mengancam untuk mengambil tindakan masih membuat dakwaan palsu tersebut.

“Kami juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITG berhubung perkara ini seperti didakwa.

“Pihak SELangkah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan dakwaan palsu yang bertujuan mencemar reputasi kami,” kata kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

BERITA BERKAIT
POPULAR