
Bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan dipanggil esok (1 Ogos) untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa ketika menjadi Peguam Negara, semasa mengendalikan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“PDRM akan merekod keterangan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 1 Ogos 2022 (Isnin) jam 2.30 petang.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya dalan kenyataan hari ini.
PDRM pada Jumaat mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Apandi, susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu dan satu lagi laporan polis yang dibuat oleh Parti Pejuang Tanah Air.
Noorsiah berkata Ahli Parlimen Klang tersebut telah membuat laporan pada 27 Julai lalu susulan tidak berpuas hati terhadap hasil siasatan kes 1MDB.
Charles hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Rabu untuk dirakam percakapan berhubung laporan yang dibuatnya itu.
Beliau memetik penghakiman 23 Mei yang disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar dalam menolak saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
“Dalam penghakimannya, Azimah menyatakan bahawa delegasi Apandi “tidak berjumpa mahupun bercakap dengan pihak yang didakwa sebagai penderma” walaupun berkata sebaliknya pada sidang media pada 26 Jan 2016.
“Pada sesi akhbar itu, Apandi mengumumkan delegasi telah ke Riyadh dan berjumpa dengan pihak yang dikatakan penderma,” kata Charles dipetik laporan media.
Dalam penghakiman setebal 100 muka surat yang dikeluarkan pada 21 Julai, Azimah menyatakan bahawa adalah sangat jelas bahawa Apandi menunjukkan sikap tidak berminat dan ada kala memberi kenyataan bertentangan dalam keterangannya.
Selain sikap tidak berminat, kata hakim itu, bekas peguam negara tersebut tidak kisah ambil terhadap kedaulatan undang-undang yang asas dan akal yang wajar (common sense).
Berdasarkan pertimbangan dan pemerhatian Azimah, Charles berkata beliau berpendirian bahawa Apandi telah mereka-reka maklumat dan berbohong semasa memegang jawatan, yang membawa kepada penyalahgunaan kuasanya sebagai penasihat undang-undang utama negara.