Apandi buka mulut, akui diminta wakil Jho Low atur pertemuan

July 16, 2022 · Isu semasa

Selepas berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, akhirnya Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengakui bertanggungjawab mengaturkan beberapa pertemuan antara wakil ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, dengan wakil kerajaan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan bekas Peguam Negara itu menjadi wakil bagi penjenayah rasuah dikehendaki tersebut dalam mengatur penyelesaian bernilai RM1.5 bilion berhubung kes pendakwaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Apandi dalam kenyataannya hari ini memberitahu dihubungi oleh firma Washington DC, Kobre & Kim pada akhir Mei lalu, yang meminta bantuannya untuk mengaturkan pertemuan dengan Peguam Negara.

Menurutnya, tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan pemulangan wang yang didakwa diselewengkan Jho Low daripada 1MDB.

“Saya aturkan beberapa pertemuan, di mana wakil dari Kobre & Kim datang ke Malaysia.

“Dalam pertemuan itu, yang dibuat di Jabatan Peguam Negara (AGC), kerajaan diwakili oleh peguam negara dan pegawainya, serta pegawai kanan SPRM.

“Selepas pertemuan itu, yang ketika itu nampak positif, ia tiba-tiba dibatalkan oleh AGC atas sebab yang hanya mereka tahu,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, laporan The Edge yang memetik sumber antara lain menyatakan kerajaan telah menolak tawaran Jho Low sebanyak RM1.5 bilion untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

Laporan itu juga mendakwa Apandi menjadi wakil bagi pihaknya.

Terdahulu hari ini, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengesahkan Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

Namun, AGC berkata semua tawaran tersebut telah ditolaknya.

Jho Low dikaitkan sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB dan telah didakwa tanpa kehadiran di mahkamah Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.

Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS sudah mendakwa Jho Low dengan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.

Di Malaysia, Jho Low dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion. Jho Low juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.

Pada 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa satu lagi pertuduhan terhadap Jho Low dan rakan-rakannya, kali ini didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bagi membolehkan Najib menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.

Jho Low berulang kali mendakwa dirinya tidak bersalah dan pada wawancara 2020 dia mendakwa hanyalah menjadi perantara dalam urusan 1MDB.

Sebelum ini semasa perbicaraan 1MDB melibatkan Najib, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, menyifatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low.

Ismee berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, mengenai apa yang dapat saksi itu rumuskan daripada hubungan kedua-dua individu berkenaan melalui pemerhatian ketika beliau (Ismee) berada dalam Lembaga Pengarah 1MDB antara 2009 dan 2016.

“Saya percaya ia adalah hubungan yang rapat,” katanya pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Ditanya sama ada beliau mengetahui secara peribadi mengenai butiran bagaimana kedua-dua individu itu berkongsi dana 1MDB, Ismee yang juga saksi pendakwaan ke-13 berkata, beliau tiada pengetahuan mengenainya.

Najib kini sedang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Berita berkaitan
Isteri saya bukan kerabat, Radzi nafi terlibat dalam projek cetak buku
2 jam lalu· Politik
Bukan mahkamah bebaskan Zahid tapi pendakwa raya tarik pendakwaan: Idris
September 22, 2023· Politik
Zaid Ibrahim disiasat bawah Akta Hasutan, diambil keterangan
September 21, 2023· Isu semasa
RM4 juta masuk akaun Najib dari syarikat berkait Jho Low: Saksi
September 21, 2023· Isu semasa
Popular
Ribuan peniaga diramal gulung tikar ekoran kenaikan harga bahan mentah: Laporan
September 20, 2023
Ringgit dibuka menghampiri RM4.70 berbanding dolar
September 22, 2023
Kes bunuh tiga warga Sri Lanka: Polis buru dua suspek
September 23, 2023
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Kes bunuh tiga warga Sri Lanka: Polis buru dua suspek
2 jam lalu · Isu semasa
Peningkatan mangsa banjir di Sabah dan Perak
3 jam lalu · Isu semasa
Polis Perak rampas dadah RM1.5 juta, lima orang ditangkap
September 22, 2023 · Isu semasa
Ringgit dibuka menghampiri RM4.70 berbanding dolar
September 22, 2023 · Isu semasa
Banjir Perak: Jumlah mangsa dipindah meningkat pagi ini
September 22, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Penamaan calon PRK Pelangai selesai, PN hadapi saingan 3 penjuru
14 jam lalu
[VIDEO] MP DAP ‘celupar’ tafsir Al-Quran bukti kerajaan bawa fahaman liberal
24 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok