
Isu kapal tempur TLDM bakal memalukan Malaysia di mata dunia setelah skandal 1MDB, apabila kali ini ia melibatkan keselamatan negara.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporannya pada Khamis, 4 Ogos lalu, mengenai perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dua tahun selepas memulakan siasatan terhadap kontrak bernilai RM9.13 bilion.
PAC – badan dwipartisan di Parlimen – berkata projek membina enam kapal itu telah dianugerahkan oleh Kementerian Pertahanan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus, dan kerajaan telah membayar RM6.08 bilion atau 66.65 peratus daripada kos setakat ini.
“Bagaimanapun, tiada satu pun kapal LCS telah dihantar. Mengikut garis masa kami, lima kapal LCS sepatutnya telah siap dan diserahkan kepada kerajaan menjelang Ogos 2022,” kata Pengerusi PAC yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh pada sidang media 4 Ogos lalu.
Isu itu mula menarik perhatian umum pada Ogos 2020 ketika pembentangan laporan Ketua Audit Negara 2019 di Parlimen.
Secara keseluruhannya, PAC melakukan sembilan pusingan prosiding berhubung isu LCS dari November 2020 hingga Mac 2022.
Antara yang dipanggil untuk prosiding itu ialah bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan pegawai dari anak syarikat BNS.
Menurut Boustead Heavy Industries Corporation Berhad, LCS ialah kapal kelas frigat yang boleh melakukan misi tentera laut yang kompleks meliputi keempat-empat dimensi peperangan moden melibatkan udara, darat, laut (antikapal selam) dan peperangan elektronik.
Pelaksanaan LCS adalah projek di bawah pelan transformasi TLDM bagi mengurangkan bilangan kelas kapal perang daripada 15 kepada lima, kata PAC.
“Di bawah transformasi tentera laut, sepatutnya ada 12 LCS. Bagaimanapun, kontrak ini hanya melibatkan enam LCS,” kata laporan PAC.
Susulan pembentangan laporan PAC, TLDM berkata ia menyokong penuh siasatan terhadap sebarang ketirisan dalam projek itu dan mereka yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
TLDM menegaskan bahawa LCS adalah aset kritikal untuk mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tentera laut memerlukan keupayaan tempur yang selaras dengan perkembangan landskap geostrategi dan geopolitik keselamatan serantau,” kata TLDM dalam satu kenyataan pada 6 Ogos.
Apa yang ditemukan PAC?
PAC mendapati tiada satu LCS pun siap walaupun kapal pertama sepatutnya dihantar pada April 2019.
Kapal kedua dan ketiga dijangka dihantar pada Februari dan Mac 2020, kapal keempat menjelang Oktober 2021, manakala kapal kelima pada Ogos tahun ini.
Pada masa ini, kemajuan fizikal bagi lima kapal ini masing-masing pada 44 peratus; 35 peratus; 32 peratus; 27 peratus; dan 16 peratus.
Tiada kerja dimulakan pada kapal keenam dan terakhir yang dijadualkan dihantar pada Oktober tahun depan.
Laporan itu juga mengatakan bahawa pandangan TLDM sebagai pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS.
Ini menyebabkan reka bentuk asal SIGMA yang dipilih oleh TLDM ditukar kepada reka bentuk GOWIND pada Julai 2011 selepas cadangan BNS kepada Zahid, yang ketika itu Menteri Pertahanan.
SIGMA adalah reka bentuk oleh syarikat Belanda, manakala sistem GOWIND direka oleh kumpulan Tentera Laut Perancis.
Menurut Timbalan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Penyiasatan Khas Mengenai Tadbir Urus Awam, Pemerolehan dan Kewangan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Guna Arulalan David, reka bentuk GOWIND lebih kepada kapal peronda luar pesisir dan bukan kapal tempur pesisir.
“SIGMA adalah bukti reka bentuk yang telah digunakan oleh Tentera Nasional Indonesia (Angkatan Laut) dan sedang dibina untuk tentera laut Maghribi,” katanya yang dipetik dalam laporan PAC.
Wong pula memetik kenyataan Abdul Aziz, sebagai berkata bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan ini.
Surat anugerah daripada kerajaan Malaysia yang ketika itu ditadbir Barisan Nasional (BN) dan UMNO kepada BNS dikeluarkan pada Disember 2011 manakala kontrak untuk projek itu hanya ditandatangani pada Julai 2014.
Laporan itu berkata, walaupun usaha sewajarnya telah dijalankan, kewangan BNS adalah lemah, dengan kerajaan perlu membuat bayaran awal sebanyak RM1.36 bilion walaupun tindakan itu bertentangan dengan prosedur kerajaan.
Laporan itu juga menyatakan penyalahgunaan kuasa dan kelemahan dalam pengurusan kewangan BNS.
Di samping itu, anak-anak syarikat BNS tidak menggunakan semua bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk melaksanakan projek LCS, katanya. Mereka membelanjakan RM400 juta untuk menjelaskan hutang lapuk projek NGPV (Kapal Peronda Generasi Baharu) lama.
Laporan PAC menambah bahawa BNS telah melantik dua syarikat untuk mendapatkan peralatan daripada pengeluar peralatan asal (OEM), menyebabkan kos pemerolehan melonjak beberapa kali ganda.
Wong juga pada sidang media 4 Ogos lalu berkata syarat kontrak dengan BNS adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan, dengan bayaran berdasarkan kemajuan aktiviti atau penghantaran barang, dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar projek.
“Ini adalah luar biasa dan telah menyebabkan bayaran kemajuan kepada LCS 1 melebihi kemajuan sebenar kerja sebanyak 21.1 peratus,” katanya.
Wong menambah bahawa terdapat inventori bernilai RM1.7 bilion dalam simpanan, dengan 15 peratus daripada barangan itu sudah dianggap usang.
Siapa pemilik Boustead Naval Ship Sdn Bhd?
BNS ialah anak syarikat Boustead Holdings Bhd, sebuah konglomerat kepelbagaian perniagaan yang pemegang saham terbesarnya ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), atau Lembaga Dana Angkatan Tentera.
Menyifatkan dirinya sebagai pusat sehenti untuk keperluan pertahanan dan maritim, BNS terletak di dalam pangkalan utama TLDM di Lumut, Perak.
Ia dikenali sebagai Limbungan TLDM sebelum dikorporatkan pada 1991 dan kemudiannya diswastakan pada 1995 sebagai PSC Naval Dockyard Sdn Bhd.
Pada tahun 2005, Boustead Holdings mengambil alih syarikat itu.
Menurut laporan tahunan 2021, LTAT memiliki 59.43 peratus Boustead Holdings Bhd.
Ditubuhkan pada 1972, LTAT ialah sebuah badan berkanun kerajaan yang menyediakan faedah melalui skim simpanan persaraan untuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan sukarelawan.
Di bawah skim LTAT, pencarum dikehendaki mencarum 10 peratus daripada gaji bulanan mereka, dengan kerajaan sebagai majikan mencarum 15 peratus.
Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata pembinaan kapal itu sedang dijalankan.
Beliau berkata projek itu ditangguhkan pada 2019 dan disambung semula dengan pilihan termurah berikutan keputusan Kabinet pada April tahun ini.
“Di bawah terma kontrak sekarang, pembinaan enam kapal mesti dilakukan serentak. Bukan bina satu, hantar satu. Limbungan kapal Lumut cukup besar dan mempunyai kapasiti untuk membina enam kapal sekali gus,” katanya dalam catatan Facebook.
Apa kata Kementerian Pertahanan?
Pendedahan mengenai kontrak LCS telah menyebabkan ahli politik dari seluruh spektrum politik membuat tuduhan terhadap satu sama lain mengenai kegagalan projek itu mengikut jadual dan wang rakyat yang telah dibelanjakan kerajaan BN/UMNO ketika itu.
Zahid yang menjadi Menteri Pertahanan ketika itu menafikan sebarang tanggungjawab atas kegagalan projek berkenaan, sambil berkata beliau bukan menteri pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.
“Saya memegang jawatan menteri dari April 2009 hingga Mei 2013. Mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaan harus bertanggungjawab memberi penjelasan kepada PAC. (Ini untuk) menyokong penuh pendedahan kelewatan ini,” kata Zahid.
Pada 8 Ogos lalu, Zahid berkata pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberikan perspektif menyeluruh mengenai isu itu, dengan mendakwa Pakatan Harapan (PH) cuba menghentikan projek terbabit apabila gabungan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-14.
Beliau juga bimbang pendedahan isu itu kononnya akan menjejaskan rahsia keselamatan negara.
“PAC sepatutnya lebih sensitif dalam menjalankan siasatan kerana ia melibatkan keselamatan negara dan masih disiasat,” katanya dalam catatan Facebook.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, yang memegang jawatan itu semasa pemerintahan PH selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, berkata Zahid mesti bertanggungjawab kerana projek itu diluluskan olehnya.
“Projek itu telah diluluskan oleh Zahid atas kapasiti beliau sebagai Menteri Pertahanan pada 2011,” kata Liew dalam catatan Facebook pada 7 Ogos.
Menteri Pertahanan ketika PH memerintah, Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama Liew berkata projek itu menghadapi kelewatan kerana reka bentuk terperinci, yang sepatutnya siap pada November 2016, masih belum dimuktamadkan sehingga kini.
Kedua-duanya juga berkata bahawa kerajaan PH telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek itu pada Februari 2020 berdasarkan cadangan jawatankuasa siasatan khas mengenai tadbir urus awam, perolehan dan kewangan, tetapi kerajaan PH tumbang pada bulan yang sama.
Mereka juga mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Zahid bertanggungjawab atas kegagalan projek itu kerana mereka meluluskannya tanpa perundingan yang sewajarnya dengan pakar.
Apa selanjutnya?
Pada sidang medianya, Pengerusi PAC yang mengetuai siasatan ke atas kontrak itu, telah membuat tujuh cadangan, termasuk menyahklasifikasi laporan mengenai perolehan LCS supaya ia boleh diteliti.
Beliau juga berkata, perolehan peralatan pertahanan negara perlu mengutamakan keperluan pengguna akhir, iaitu dalam kes LCS ialah TLDM.
Wong juga berkata Kementerian Pertahanan harus menyemak semua pilihan dan menentukan tindakan terbaik untuk projek LCS dan memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab.
Kementerian juga diberitahu untuk membentangkan kemajuan projek itu kepada PAC setiap tiga bulan sehingga ia siap.
Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz memberitahu Dewan Negara pada 27 Julai bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatannya mengenai perkara itu.
“Pertuduhan telah disyorkan dan kini terpulang kepada Peguam Negara untuk memutuskan tindakan seterusnya,” katanya dipetik The Star.
Pada Isnin, Hishammuddin, pula memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kementerian Pertahanan diberi tempoh enam bulan untuk memulihkan projek itu dan beliau percaya kapal pertama akan dihantar dalam tempoh dua tahun.
“Kita akan lihat bagaimana kita boleh memastikan kapal yang dijanjikan dihantar dan mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji siasatan berhubung isu itu akan dijalankan secara telus dan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.
“Kabinet telah menggesa SPRM mempercepatkan siasatannya dan jika ada bukti konkrit, peguam negara perlu mendakwa mereka yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, beliau telah menghubungi Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat Kabinet untuk bertindak segera mengikut keputusan mesyuarat.
Ismail Sabri berkata kerajaan komited untuk meneruskan projek LCS demi keselamatan negara, selaras dengan keperluan TLDM. – CNA