Apa salahnya tangguh keputusan kes Najib, kata seorang MT UMNO

Seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Rahman Dahlan menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes Datuk Seri Najib Razak dalam isu dana SRC International Sdn Bhd (SRC) dibuat secara tergesa-gesa dan sepatutnya ditangguhkan terlebih dahulu.

Rahman berkata apa salahnya Mahkamah Rayuan menangguhkan dahulu keputusan mereka agar penilaian menyeluruh kes berkenaan dapat dilaksanakan dengan teliti.

“Apa salahnya buat dulu siasatan terhadap individu yang disebut dalam kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Rakyat membaca dan ia akan beri impak negatif kepada badan kehakiman. Lengkapkan siasatan, baru boleh buat keputusan. Ini (melibatkan bekas) Perdana Menteri, kenalah ada sedikit keprihatinan, belas kasihan dan perikemanusian kerana kes ini besar.

“Apa salahnya tangguh sebulan dua lagi untuk tengok betul-betul,” katanya dipetik dalam laporan portal FMT.

Katanya lagi, pihak mahkamah juga tidak sepatutnya menolak permohonan yang dikemukakan oleh Najib berhubung bukti baharu melibatkan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Datuk Tawfiq Ayman bersabit kes SRC tersebut.

“Sepatutnya apa yang dikatakan itu disiasat dahulu, sama ada apa yang mereka (Zeti dan beberapa individu yang disebut) buat itu beri kesan atau tidak terhadap kes Najib.

“Benda ni dah panas, mengapa mereka tidak dipanggil atau diambil tindakan. Rakyat nak tahu, ada tak hubungan kes ini dengan kes Najib,” katanya lagi.

Terdahulu, UMNO melahirkan rasa ‘dukacita’ dengan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes Najib dengan mengekalkan hukuman bersabit kes SRC pada Rabu.

Rasa tidak gembira itu dinyatakan oleh MT UMNO yang bermesyuarat pada malam keputusan mahkamah tersebut diputuskan.

“Mesyuarat MKT Umno yang diadakan pada malam 8 Dis […] telah membuat keputusan antara lain menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan rayuan kes Datuk Seri Najib Razak,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

Najib didakwa atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC bernilai RM42 juta.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 kemudian memutuskan Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM120 juta.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang kemudian sebulat suara memutuskan permohonan Najib itu ditolak.

Bagaimanapun Najib sudah mengarahkan pasukan peguamnya untuk membawa kes tersebut ke mahkamah tertinggi di negara ini, iaitu Mahkamah Persekutuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR