Apa motif pembangkang tolak usul SOSMA, cuba tunjuk lebih kuat?

Apakah pembangkang mahu menunjukkan mereka lebih kuat dengan menolak pelanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat semalam?

Tindakan menolak usul yang dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu secara tidak langsung memberi isyarat yang tidak baik seakan tidak menghormati memorandum persefahaman (MoU) dimerterai dengan kerajaan yang tujuannya bagi mewujudkan kestabilan politik.

Pembangkang boleh memberi alasan perkara tersebut tidak termaktub dalam syarat yang diletak dalam MoU tersebut, bagaimanapun mereka juga perlu ingat syarat yang diletak dalam MoU sebelum ini juga tidak semestinya dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen (MP) yang berada di blok kerajaan.

Jika pembangkang boleh memilih menolak usul yang dibawa oleh kerajaan, tidak terfikirkah Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang ingin dibawa mereka juga boleh ditolak oleh MP Kerajaan sekiranya dibentangkan selepas ini.

Atau adakah sememangnya pembangkang sengaja melakukan provokasi terhadap kerajaan provokasi supaya MoU sebelum ini terbatal?

Pelbagai implikasi selepas ini berkemungkinan boleh berlaku akibat daripada tindakan pembangkang yang tidak menyokong usul dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat semalam, pastinya banyak spekulasi boleh diterjemahkan susulan langkah tidak matang pembangkang tersebut.

Susulan kegagalan mendapat sokongan di Dewan Rakyat semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa antara yang terawal mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan MoU yang dimerterai bersama pembangkang sebelum ini sudah terbatal.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan. Dan ini satu ‘blessing in disguise’, kerana YAB Perdana Menteri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Tidak cukup dengan itu, Annuar berkata sudah tiba masanya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan mengambil kira pembangkang yang enggan bertolak-ansur dengan kerajaan.

“Gantung MoU! Jom!… Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU-15,” menurut catatan itu lagi.

Komen Annuar tersebut dilihat mempunyai konotasi tegas memandangkan pembangkang sengaja mencabar kerajaan dengan mereka sendiri tidak menghormati MoU yang dimerterai.

Pembangkang perlu sedar, apabila MoU tersebut dipersetujui dengan kerajaan, ia juga menuntut komitmen mereka untuk bersetuju dengan polisi dan dasar yang ingin dilaksanakan.

Tidak bolehlah hanya tuntutan pembangkang yang perlu dituruti kerajaan tetapi tuntutan kerajaan mereka boleh menolak. Dimana ada sikap tolak ansur antara pembangkang dengan kerajaan, bukankah itu sudah bertentangan dengan semangat MoU yang ditandatangani bersama sebelum ini.

Tidak adil sekiranya hanya perkara yang menguntungkan pembangkang sahaja yang akan disokong, lagipun usul tersebut adalah penting kerana ia melibatkan isu keselamatan negara.

Pemimpin DAP dalam Dewan Rakyat paling lantang bersuara berhubung usul yang dibawa oleh KDN tersebut, dendam yang lama susulan tangkapan terhadap pemimpin mereka yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebelum ini masih tidak dilupakan.

Malah, MP DAP dalam dewan juga secara jelas menyalahkan mantan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sebagai punca kepada tangkapan tersebut pada Oktober 2019.

DAP seakan tidak berpuas hati dengan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis dan seakan mahu Muhyiddin campur tangan dalam isu tersebut, tindakan yang sepatutnya tidak boleh dilakukan seorang Menteri kerana akan menganggu tugas pihak polis.

Susulan kemenangan pengundian di Dewan Rakyat semalam, pembangkang dilihat teruja dan meraikannya seakan-akan sudah berjaya memenangi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, terlalu awal untuk pembangkang bersorak girang dengan hanya satu kemenangan pengundian di Dewan Rakyat kerana tindakan mereka sebenarnya itu bakal membuka lebih banyak laluan berliku selepas ini.

Atau adakah pembangkang sudah bersiap-sedia untuk kalah teruk lagi seperti yang berlaku di Melaka dan Johor?

BERITA BERKAIT
POPULAR