Apa jasa banduan Najib nak dihadiahkan hartanah RM100 juta? soal Dr M

Keputusan kerajaan untuk menghadiahkan RM100 juta kepada bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dikecam hebat Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati terhadap layanan istimewa yang diberikan oleh pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri.

Dr Mahathir mempertikaikan bagaimana Najib yang sudah dijatuhkan hukuman atas jenayah dilakukannya bersabit pertuduhan di mahkamah dan juga berstatus banduan diberikan hadiah sebegitu besar daripada kerajaan Ismail Sabri.

“Tetapi sekarang ini saya dapati bahawa ada satu item yang tak disebut dalam bajet tetapi ini sudah timbul di khalayak ramai.

“Bajet ini berkenaan dengan hadiah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dia akan dihadiah dengan wang dengan hartanah dan rumah bernilai RM100 juta kerana jasanya kepada negara… Ini tak disebut kerana kita nak tahulah apa dia jasa dia,” kata beliau membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir mempersoalkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar memberi penjelasan berhubung isu tersebut, bagaimanapun memberitahu jawapan tersebut perlu dijawab Jabatan Perdana Menteri untuk memperincikan setiap keputusan berhubung hadian RM100 juta tersebut.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengasak Zafrul dengan berkata setakat diketahui umum, jasa Najib yang akan dikenang oleh rakyat ialah apabila disabitkan kesalahan terhadap jenayah yang dilakukannya semasa menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Setakat yang kita tahu dia adalah satu banduan yang didapati bersalah dihukum dua belas tahun penjara dan denda lebih daripada RM200 juta yang dia tak masuk penjara dan dia tak tak bayar denda,” katanya lagi.

Malah, Dr Mahathir juga mendedahkan selama memegang jawatan PM 22 tahun sebelum ini tidak pernah diberikan hadiah yang sama seperti diperoleh Najib daripada kerajaan.

“Saya sendiri jadi Perdana Menteri 22 tahun saya tak ambil satu keping tanah pun. Tak ada ambil, cuma saya ada pencen saya, saya sudah, itu saja,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur.

Permohonan tersebut menurut portal MalaysiaNow sudah menerima kelulusan daripada kerajaan namun dibantah menteri dan pegawai kanan.

Difahamkan Najib membuat permohonan tersebut setahun selepas digulingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 dan sekali lagi tahun lalu, beberapa bulan sebelum beliau disabitkan bersalah bagi kes rasuah melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

BERITA BERKAIT
POPULAR