
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir hairan kenapa Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Shahril Hamdan tidak memberi nasihat yang baik kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cara untuk menangani masalah ekonomi negara dan rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan diingatkan supaya menjalankan fungsinya sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri (PM), supaya memberi nasihat dan idea kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung cara menangani masalah ekonomi yang dihadapi rakyat sekarang ini.
Kedudukan Shahril sepatutnya diguna untuk membantu menyelesaikan isu rakyat, termasuk menjayakan cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukannya memberi jawapan beralaskan politik kluster mahkamah.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mempersoalkan bagaimana seorang penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri Malaysia boleh berdolak-dalik menyalahkan pihak lain dalam menangani masalah ekonomi negara dan rakyat.
“Shahril Hamdan pertikai kenyataan Muhyiddin bahawa banyak syarikat dan perniagaan mengecilkan operasi kerana kekurangan pekerja pada masa ini. Dia kata masa zaman Muhyiddin jadi PM, 100,000 syarikat tutup kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Dia lupa masa PKP dulu, Pemuda UMNO lah yang kuat melalak suruh kerajaan tutup kilang, tutup kedai, tutup pejabat. Muhyiddin tak tunduk kepada desakan Pemuda UMNO. Kilang-kilang, perusahaan dan perniagaan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Shahril Hamdan yang membidas kenyataan Muhyiddin yang melihat Ismail Sabri tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.
Dalam kenyataannya Muhyiddin berkata isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius dan Ismail Sabri tidak tampil menjelaskan langkah akan diambil kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.
Mengulas lanjut, Mohd Ashraf berkata ketika Muhyiddin menjadi PM sebelum ini banyak bantuan yang diberikan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk PENJANA, PEMULIH, PRIHATIN dan lain-lain.
“Subsidi upah juga diberikan kepada syarikat-syarikat untuk memastikan mereka dapat terus menggaji pekerja walaupun perniagaan terjejas.
“Sekarang bukan musim PKP lagi. Ekonomi dah dibuka. Tapi kenapa masih ada syarikat dan kilang yang tak dapat beroperasi sepenuhnya? Kedai mamak pun sekarang banyak tutup. Ladang sawit pun buah busuk macam tu saja sebab tak ada pekerja nak kutip buah,
“Kenapa? Isunya sebab kekurangan tenaga kerja. Apa yang PM buat untuk mengatasi masalah ini? Apa yang Shahril Hamdan sebagai Pengarah Ekonomi PM nasihat Ismail Sabri untuk selesaikan masalah ini?
“Dah lebih setahun jadi PM. Covid sudah tidak ada, tapi masalah ekonomi semakin meruncing,” kata Mohd Ashraf sambil menjelaskan bahawa jika nilai ringgit terus jatuh, maka secara tidak langsung harga makanan dan barangan keperluan menjadi mahal, sekali gus membebankan rakyat.
“Shahril janganlah jawab macam Menteri Kewangan… oh, nilai ringgit jatuh baguslah. Pengeksport akan happy sebab boleh jual barang eksport dengan harga yang lebih kompetitif…. Berapa ramai rakyat kita yang eksport barang ke luar negara? Fikir hal rakyat sikit… rakyat tengah susah!”
Mohd Ashraf berkata Muhyiddin sentiasa berusaha untuk menepati ikrarnya membantu meringankan beban rakyat, tetapi ketika kerajaan sekarang dipimpin Naib Presiden UMNO, ekonomi tetap merudum, manakala inflasi pula meningkat.
“Apa nasihat diberikan Pengarah Ekonomi Pejabat PM kepada Ismail Sabri? Sebalikya pemimpin UMNO semakin gila untuk mendapat dan mempertahankan kuasa daripada memikirkan masalah rakyat… sibuk untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.
Mengenai tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dibangkitkan Shahril Hamdan, Mohd Ashraf membidas dengan mengatakan Ismail Sabri tidak menunaikan janji.
“Boss awak (Ismail Sabri) yang tak tunai janji dan berbohong. Dia tandatangan perjanjian tapi nafikan. Orang tak tunai janji dan berbohong ni tak layak jadi pemimpin.
“Jangan awak tak tau orang UMNO pun tengah marah kat boss awak tu sebab dia tipu orang UMNO. Jadi eloklah buat pilihan raya supaya pemimpin baharu yang lebih beramanah dapat dipilih jadi pemimpin,” katanya.