Anwar sahkan penyokong tegar hina Agong diberi amaran, tidak dibuang

Foto kredit Facebook Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang menghina Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini hanya diberi amaran terbuka dan tidak dibuang parti, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyifatkan penyokong tegarnya itu sudah diberikan teguran sebelum ini bagaimanapun tidak diendahkan dengan nasihat tersebut dan meneruskan serangan dengan kenyataan biadab sehingga menghina institusi Raja-Raja.

“Bulan April kita sudah nasihatkan dia bahawa boleh tegur tetapi haruslah jaga tatasusila. Kita nasihatkan boleh tegur tetapi jaga kerana ada peraturan kita, itu saja kita lakukan.

“Tetapi dia tidak meneruskan (mematuhi teguran) maka kita terpaksa memberi amaran secara terbuka,” katanya dipetik portal Malaysiakini.

Berhubung tindakan undang-undang yang bakal dihadapi penyokongnya itu, Anwar berkata setiap rakyat berhak mendapat perlindungan guaman namun menolak tindakan menggunakan Akta Hasutan terhadap mana-mana individu.

“Apakah saya setuju dengan tindakan Akta Hasutan? Saya tidak setuju. Secara prinsip kita tidak setuju (pihak berkuasa) guna Akta Hasutan.

“Apakah saya setuju dia diberikan bantuan khidmat guaman? Ya, ini hak setiap rakyat dapat perlindungan guaman,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Iswardy memuat naik video secara langsung bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun Ini’ di YouTube rasmi miliknya.

Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Iswardy sebagai tidak mewakili pendirian parti itu kerana PKR adalah sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu.

Kata Fahmi, ucapan Iswardy dalam beberapa video sebelum ini pernah dibincangkan di dalam Biro Politik PKR dan keputusan telah diambil pada April lalu dengan memberi amaran keras kepadanya.

Susulan tindakannya itu polis kini telah menahannya di rumahnya di Kajang, susulan laporan oleh ramai yang diterima berhubung perkara itu.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
5,793 kes baharu hari iniJune 12, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021