Anwar, Kit Siang positif Covid

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas penasihat DAP Lim Kit Siang, disahkan positif Covid-19 hasil ujian Rt-PCR yang dijalankan di Parlimen hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit kepada Ketua Pembangkang Shukri Saad dan Setiausaha Politik Kit Siang, Syahredzan Johan, menerusi kenyataan masing-masing hari ini.

“Datuk Seri Anwar akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” menurut Shukri dalam kenyataan hari ini.

Menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, semua Ahli Parlimen serta pegawai bertugas diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 berkala pada setiap Isnin dan Rabu sepanjang tempoh persidangan bagi mengawal penularan Covid-19.

Terdahulu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri,disahkan positif Covid-19.

Syahredzan berkata, Kit Siang disahkan positif wabak itu hasil ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) yang dilakukan di Parlimen.

“Saya boleh pastikan yang Ahli Parlimen Iskandar Puteri telah diuji positif Covid-19. Awal hari ini di Parlimen, beliau menjalankan kit ujian pantas (RTK) antigen dan keputusannya positif, kemudian ujian RT-PCR dijalankan serta disahkan positif Covid-19.

“Beliau sekarang dalam tempoh kuarantin mengikut protokol kuarantin.

“Beliau sudah divaksinasi dan mendapatkan suntikan dos penggalak, dan setakat ini beliau hanya mengalami gejala ringan seperti batuk,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR