Anwar gagal rayuan kembalikan semula saman batal sabitan kes liwat

February 23, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini bagi mengembalikan semula samannya terhadap kerajaan untuk membatalkan sabitan kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan presiden PKR itu dan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tepat dalam membatalkan saman pemula Anwar, lapor Bernama.

Abu Bakar, yang menyampaikan keputusan itu berkata dakwaan Anwar bahawa ketua pendakwa dalam kes liwatnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, telah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah kenyataan semata-mata tanpa bukti sokongan.

“Oleh itu, kenyataan bahawa Muhammad Shafee tidak bebas sebagai ketua pendakwa, tidak mempunyai sebarang merit.

“Dalam apa jua keadaan walaupun terbukti wang itu telah dibayar kepada Muhammad Shafee oleh Najib, kami tidak berpendapat ini menjejaskan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” kata hakim itu.

Abu Bakar berkata keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Anwar diberikan oleh hakim mahkamah tersebut secara bebas dan tanpa pengaruh atau pengetahuan mengenai sebarang bayaran antara kedua-dua individu itu.

“Oleh itu tidak menjadi isu jika ada pembayaran tersebut dibuat oleh Najib kepada Muhammad Shafee. Perkara itu menjadi urusan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyiasat dan Peguam Negara untuk mendakwa jika terdapat pembayaran rasuah dan penerimaan dalam jumlah yang sama,” katanya.

Beliau berkata Anwar juga tidak dinafikan peluang membela diri sehingga ke Mahkamah Persekutuan dalam kes liwatnya.

Prosiding mahkamah dijalankan secara dalam talian.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov 2017 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan samannya.

Dalam saman pemulanya yang difailkan pada 9 Jun 2017, menamakan kerajaan sebagai defendan, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat.

Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau di luar kuasa Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan juga adalah ultra vires dan oleh itu, terbatal serta tidak sah.

Afidavit Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitan kes liwat beliau.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, Anwar telah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Peguam J. Leela dan How Li Nee mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak pendakwaan. Peguam Sarah Abishegam bertindak bagi Muhammad Shafee, yang dibenarkan mencelah dalam rayuan pada 2018.

Berita berkaitan
Anak saudara Sivarasa bebas tuduhan rasuah
6 jam lalu· Isu semasa
Bijak bezakan peranan parti politik dan kerajaan
14 jam lalu· Isu semasa
Singapura tak guna OPR, Dr M beritahu Anwar
June 7, 2023· Isu semasa
1MDB dapat kebenaran teruskan saman terhadap rakan sekutu Jho Low
June 7, 2023· Politik
Popular
Tiada lagi subsidi ayam dan telur pada 1 Julai: Mat Sabu
June 8, 2023
Speaker tolak usul bahas skandal LCS, tapi kenapa kerap dibincang semasa PRU?
June 8, 2023
Dewan Rakyat riuh bila sup tulang babi dicadang jadi makanan kebangsaan
June 7, 2023
Singapura tak guna OPR, Dr M beritahu Anwar
June 7, 2023
Lagi Isu semasa terkini
PAC panggil 4 kementerian, 1 GLC minggu depan
23 minit lalu · Isu semasa
Hans Isaac kini Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia
4 jam lalu · Isu semasa
Kedah tawar pinjaman pendidikan buat pelajar yang layak ke IPTA, IPTS
5 jam lalu · Isu semasa
Speaker tolak usul bahas skandal LCS, tapi kenapa kerap dibincang semasa PRU?
8 jam lalu · Isu semasa
Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pemuda menangis teruk Najib dapat anugerah
4 jam lalu
[VIDEO] Gelombang sudah ada, PN tetap usaha menang PRN enam negeri
22 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok