
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal menyatukan parti pembangkang dibawah satu khemah besar.
PKR berisiko besar akan mengulangi satu lagi pencapaian memalukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini dan ia bakal mengugat posisi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.
Berdasarkan pemerhatian dan jumlah orang ramai yang mengikuti kempen PKR walaupun dengan kehadiran Anwar sendiri ke lapangan berkempen, nampaknya rakyat Johor tidak berminat untuk mendengar cerita dongengnya dan terdapat program dihadiri Presiden PKR itu tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.
Terdesak dengan perkembangan semasa yang tidak memihak kepada PKR sepanjang kempen PRN Johor, Anwar nampaknya terpaksa menggunakan isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menarik sokongan pengundi bagi menyokong parti pembangkang.
Namun, rakyat secara umumnya mengetahui Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak berusaha berjuang untuk memastikan rakyat yang terjejas akibat kesempitan hidup semasa pandemik Covid-19 dapat mengeluarkan wang daripada akaun simpanan persaraan tersebut.
Orang ramai amat berterima kasih kepada jasa Muhyiddin yang lebih peka dan prihatin dengan memastikan pengeluaran tersebut diluluskan semasa pentadbirannya sebelum ini.
Berbeza semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sehingga hari ini, nampaknya tidak ada sekali pengeluaran KWSP diluluskan walaupun mendapat desakan pelbagai pihak.
Dalam kenyataan terbaharu Anwar, beliau kini menyokong supaya pengeluaran KWSP diluluskan bagi membantu rakyat yang sedang kesempitan hidup walaupun pada awalnya tidak menyokong langkah tersebut.
“Justeru, setelah kami melihat kerajaan seolah-olah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung saranan agar pengeluaran KWSP dibenarkan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) dikatakan dalam keadaan tertekan tatkala sokongan bangsa Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin meluas dan meningkat menjelang PRN.
Susulan itu, spekulasi kini bertiup kencang BN bakal mengeluarkan ‘senjata’ simpanan yang merupakan ‘aset’ strategi bagi menarik balik sokongan terhadap mereka – simpanan KWSP.
Ya! Agenda Daily menerima maklumat berhubung spekulasi bahawa BN, khususnya UMNO akan mendesak habis-habisan supaya kerajaan yang kini dipimpin mereka, meluluskan pengeluaran khas simpanan KWSP.
Tetapi! Ianya sekadar RM5,000 bukan RM10,000 seperti yang diminta oleh pelbagai pihak sebelum ini.
Pada 28 Disember tahun lalu, KWSP dalam satu kenyataan yang dilaporkan media tempatan menyatakan sokongan supaya pengeluaran khas i-Citra diberhentikan bagi membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka.
KWSP berkata, kepelbagaian bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalah dialu-alukan semasa waktu sukar ini, justeru, sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah dianggap tidak perlu.
KWSP adalah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
“Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.
“Walau bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” kata KWSP.