Antivaksin serang kerajaan: Puad kata pelajar meninggal setelah divaksin

Kumpulan antivaksin Covid-19 hari ini mengambil kesempatan menyerang kerajaan, terutama Kementerian Kesihatan (KKM), susulan tindakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dari Johor mendakwa seorang pelajar meninggal dunia setelah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Datuk Puad Zarkashi memuat naik hantaran dalam Facebook beliau ketika menziarahi keluarga Allahyarham Siti Nurhayati Nabilah Abdullah, 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kolam Air, Batu Pahat.

“Menziarahi keluarga Allahyarhamah adik Siti Nurhayati Nabilah Abdullah 14 tahun yang meninggal dunia setelah menerima dos pertama vaksin COVID 19.

“Diharap KKM mengeluarkan keputusan post-mortem dengan telus dan segera. Allahyarhamah adalah pelajar di SMK Kolam Air Batu Pahat,” kata Puad dalam kiriman jam 1.56 petang tadi.

Sehingga berita ini ditulis, hantaran beliau mendapat 360 ulasan dan 317 perkongsian warganet.

Dalam komen mereka, ramai warganet mengecam kerajaan, KKM dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung langkah pemberian vaksin kepada remaja.

Malah, ada juga warganet yang menasihatkan ibu bapa yang lain supaya tidak membenarkan anak-anak mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ada juga warganet yang membuat andaian sudah mengetahui apa jawapan yang akan diberikan oleh KKM berhubung kematian pelajar itu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan sejak 20 September lalu membabitkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, menyusul PICK individu berusia 18 tahun ke atas.

Sehingga semalam, 43.4 peratus atau 1,367,216 remaja telah lengkap divaksin, manakala 80.2 peratus atau 2,524,156 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos.

Sebelum ini, kumpulan antivaksin melancarkan serangan terhadap kerajaan, termasuk menyebarkan maklumat palsu mendakwa ada pelajar dan guru yang meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19.

Susulan itu KKM membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan ke atas kumpulan dan individu yang menyebarkan maklumat tidak betul mengenai vaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR