Antibiotik bukan penawar Covid-19

Sehingga kini Covid-19 belum ada penawar, namun masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terpedaya dengan pelbagai ubat-ubatan yang kononnya mampu merawat jangkitan itu termasuklah penggunaan antibiotik merawat penyakit ini.

Menurut Ketua Farmasi Kumpulan, KPJ Healthcare Berhad, Zarihasyum Wan [email protected] Zain, antibiotik juga dikenali sebagai antibakteria adalah ubat yang digunakan untuk melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria pada manusia dan haiwan.

“Sebagai seorang pesakit, anda disyorkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi mengenai pengambilan antibiotik yang sesuai. Hanya menggunakan antibiotik atau memberi antibiotik kepada anak anda, apabila mendapat kebenaran (preskripsi) oleh doktor sahaja,” katanya.

Mengulas sama ada antibiotik berkesan merawat Covid-19, Zarihasyum memberitahu, antibiotik tidak dapat mencegah dan merawat Covid-19 kerana ia adalah disebabkan oleh jangkitan virus. Ini kerana antibiotik hanya berkesan untuk merawat jangkitan bakteria dan bukan virus.

Bagaimanapun, terdapat pesakit Covid-19 yang mungkin dijangkiti bakteria. Dalam keadaan ini, doktor akan merawat jangkitan bakteria tersebut dengan antibiotik.

“Seseorang yang sedang menjalani rawatan kendiri tidak perlu mengambil antibiotik sekiranya tiada simptom-simptom yang disyaki disebabkan oleh jangkitan bakteria.

“Selain itu, pesakit perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu untuk pemeriksaan lanjut. Secara amnya, antibiotik digunakan untuk merawat atau mencegah beberapa jenis jangkitan bakteria. Antibiotik bekerja dengan membunuh bakteria atau menghalangnya daripada membiak dan merebak,” katanya.
Zarihasyum menjelaskan, antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan virus, seperti selesema, demam, kebanyakan batuk dan sakit tekak.

“Tidak semua jenis demam perlu dirawat dengan antibiotik. Kecuali jika doktor mengesyaki anda mempunyai jangkitan bakteria seperti radang tekak, doktor tidak menetapkan antibiotik untuk merawat demam.

“Sekiranya demam anda disebabkan oleh virus, seperti selesema atau bronchitis akut, antibiotik tidak akan menyembuhkannya atau melegakan simptomnya. Hanya doktor yang boleh menentukan antibiotik yang sesuai untuk merawat jangkitan tertentu,” katanya.

Tidak dinafikan, antibiotik adalah ubat paling berkuasa melawan bakteria tetapi ia tidak semestinya digunakan ke atas setiap penyakit terutama penyakit disebabkan virus.

“Antibiotik melawan jangkitan yang berpunca daripada bakteria dan menghalang terus merebak.

“Lazimnya, antibiotik tidak berkesan untuk jangkitan seperti demam, sakit tekak atau selesema biasa dan jika ia diambil ketika pesakit mengalami jangkitan virus, ia akan membunuh bakteria baik di dalam tubuh,” katanya.

Katanya, bakteria baik diperlukan untuk menghadamkan makanan, memberikan nutrien secara tidak langsung dan melindungi daripada bakteria jahat.

Bakteria adalah mikroorganisma yang mampu berkembang secara sendiri, terdapat di sekeliling atau di dalam tubuh kita tetapi hanya dalam jumlah kecil saja mengakibatkan jangkitan.

Sementara itu, virus adalah lebih kecil berbanding bakteria dan memerlukan hos untuk berkembang seperti manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Antibiotik tidak berkesan untuk menentangnya.

Sekiranya individu tidak sihat, mereka dinasihatkan berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada anda mengalami jangkitan bakteria atau virus.

“Rintangan antibiotik berlaku apabila bakteria berubah untuk mengurangkan atau menghapuskan keberkesanan antibiotik. Bakteria terus berkembang dan menjadi lebih berbahaya dan sukar dirawat dengan antibiotik yang lazimnya digunakan untuk melawan sesuatu penyakit,” jelasnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR