
Beberapa batang jalan utama di Melaka ditenggelami akibat hujan lebat sebelum ini. - Gambar FB
Jumlah mangsa banjir bagi dua daerah di Melaka menurun kepada 170 orang membabitkan 50 keluarga setakat jam 4 petang ini berbanding 250 orang daripada 66 keluarga pada jam 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan berkata seramai 93 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Alor Gajah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan dan Balai Raya Kampung Gadek.
Kenyataan itu menyebut seramai 77 mangsa membabitkan 16 keluarga di daerah Melaka Tengah masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Krubong.
Antara kawasan terjejas banjir di Alor Gajah adalah Kampung Gadek, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin dan Kampung Pulau manakala di Melaka Tengah membabitkan Kampung Lanjut Manis.
Sementara itu, sehingga jam 7 malam ini (28 Oktober 2022) paras Sungai Melaka dan Sungai Kesang di tiga stesen bacaan di negeiri itu merekodkan tahap melebihi waspada, amaran dan bahaya.
Catatan paras air Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah merekodkan paras air 19.00 meter (m), berbanding 2.18m paras normal.
Manakala paras air Sungai Kesang di Telok Rimba di Jasin pula mencatatkan 19.00m (3.31m paras normal), dan Sungai Melaka di stesen Dheng D/S, juga di Melaka Tengah mencatat bacaan 19.00m (2.21m).