
Senjata api dan pelbagai jenis burung dirampas dalam empat serbuan pihak berkuasa ketika mematahkan sindiket menjual hidupan liar tanpa lesen di Perak, tiga hari lalu. - Gambar PDRM
Polis menahan tiga lelaki dipercayai memiliki dan menjual hidupan liar tanpa lesen dan pemilikan senjata api buatan sendiri dalam serbuan berasingan di Perak pada Rabu dan Selasa.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai spesies burung dan peralatan lain yang bernilai RM717,500.
Menurutnya serbuan itu hasil maklumat risikan cawangan perisikan dan siasatan khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) sebelum melancarkan empat serbuan bersama Jabatan Perhilitan.
“Pada 31 Mei 2022, PGK telah membuat tiga serbuan di kawasan Bukit Merah, Perak dan menahan seorang lelaki berbangsa Cina warga tempatan berusia 44 tahun serta merampas sejumlah 72 ekor burung murai batu dan 47 sangkar dianggarkan bernilai RM694,500.
“Pada 1 Jun 2022, dalam operasi yang sama satu serbuan dilakukan di kawasan Gerik, Perak dan menahan dua lelaki rakyat Thailand berusia 33 dan 37 tahun,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Hazani berkata pihak berkuasa turut merampas empat ekor burung pelbagai jenis, tiga laras senjata disyaki senapang patah, dua laras senjata disyaki bakakuk, satu pistol, lima laras busur panah silang, 25 butir peluru penabur dan satu beg lut sinar disyaki daun ketum.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,000,” katanya.
Menurutnya, semua suspek telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak dan IPD Gerik di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.
Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716); Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960; Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952; dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind. 2002).
“Polis percaya tangkapan ini hanya sebahagian daripada mereka yang masih bebas serta bergerak aktif memburu haiwan dilindungi dan kami akan terus menjejaki saki-baki anggota sindiket ini,” katanya.