Anak Zahid nafi lindungi Siti Bainun selepas tular gambar bersama

Dakwaan kononnya terlibat dalam melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang merupakan tertuduh dalam perbicaraan kes dera remaja OKU dinafikan anak perempuan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anak Zahid, Datuk Nurul Hidayah tampil membuat penafian berhubung spekulasi kononnya mereka sekeluarga melindungi Siti Bainun susulan tular gambar bersama dalam media sosial baru-baru ini, tetapi tidak menafikan mengenali tertuduh dalam kes dera remaja OKU itu.

Melalui hantaran di Instagram, Nurul Hidayah berkata keluarganya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Siti Bainun bagaimanapun mengakui bahawa mereka mempunyai sejarah dengannya.

“Kami sekeluarga tidak kena mengena dengan OKT atau dengan pemahaman lain, kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.

“Benar, kami pernah kenal dan rapat. Sebagai seorang yang pernah rapat, saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT yang sanggup sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya,” katanya.

Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Dia bagaimanapun, tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Untuk rekod, Zahid juga pada Ahad turut menafikan khabar angin bahawa Siti Bainun mampu melantik sepuluh orang barisan peguam disebabkan dirinya.

BERITA BERKAIT
POPULAR