Anak Najib setuju bayar cukai RM13.16 juta mulai 2011 hingga 2017

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mendapat persetujuan anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk menyelesaikan cukai taksiran tambahan berjumlah RM13.16 juta bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.

Perkara itu disahkan peguam mewakili Datuk Mohd Nizar Najib, 43, selepas persetujuan dicapai untuk menyelesaikan tuntutan cukai tersebut dengan LHDN.

“Sepatutnya perintah persetujuan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan pada 27 Mei lepas, namun dijadualkan semula ke 4 Ogos ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Pengurusan kes berhubung rayuan Nizar di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman berlangsung secara dalam talian, hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam hasil Muhammad Nabil Abdul Halim bertindak bagi pihak LHDN.

Berhubung rayuan Nizar, peguam itu berkata mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui sama ada permohonan anak guamnya untuk melapangkan tarikh pendengaran rayuan yang dijadualkan pada 16 Jun dibenarkan oleh mahkamah sementara menunggu perintah persetujuan direkodkan.

Pada 11 Ogos tahun lepas, Nizar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Ogos tahun sama yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadapnya

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Pesuruhjaya Kehakiman Julie Lack Abdullah dalam penghakimannya memutuskan perkara yang dibangkitkan Nizar tidak mempunyai merit dan tidak berasas selain berpendapat pembayar cukai perlu membayar cukainya dahulu tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati dengan jumlah tersebut atau atas apa alasan sekali pun.

Pada 24 Julai 2019, LHDN, melalui kerajaan Malaysia telah memfailkan writ saman terhadap Mohamad Nizar, menuntutnya membayar cukai berjumlah RM13,159,821.94 bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.

Selain Nizar, Najib dan seorang lagi anak lelakinya Mohd Nazifuddin juga perlu membayar cukai pendapatan kepada LHDN seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Najib perlu membayar RM1.69 bilion manakala Mohd Nazifuddin RM37.6 juta.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dilaporkan belum melunaskan bayaran itu menyebabkan LHDN menfailkan notis kebankrapan terhadap mereka dan kes itu masih di peringkat pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

BERITA BERKAIT
POPULAR