Anak Najib akui kenal Leissner, nafi diambil bekerja dengan Goldman Sachs

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui mengenali bekas Pengerusi Goldman Sachs South Asia, Tim Leissner tetapi menafikan diambil bekerja dengan Goldman Sachs, sebaliknya beliau ditawarkan sebagai pelatih di firma ekuiti swasta global, TPG.

Nooryana Najwa berkata Leissner memberitahu tawaran pekerjaan kepadanya mungkin menjadi konflik kepentingan memandangkan Goldman Sachs ada menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia, ia secara tidak langsung menunjukkan mengenali individu tersebut.

“Saya berminat dalam dasar luar dan kerajaan (saya pemegangang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Politik Antarabangsa dan Dasar Luar dari Georgetown University Washington DC), jadi saya mahu mencari pekerjaan yang menggabungkan kewangan dan dasar kerajaan.

“Ya, saya ada bertanya sama ada Goldman Sachs menawarkan pekerjaan seperti itu, dan saya sedia untuk ditemuduga untuk jawatan berkenaan.

“Dan ya, saya dimaklumkan Goldman Sachs ada menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia, jadi ia mungkin menjadi konflik kepentingan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Susulan itu, katanya, Leissner membantunya mendapatkan tawaran sebagai pelatih di firma ekuiti swasta global, TPG dan jawatan yang diberikan adalah paling bawah sekali.

“Saya menghadiri temu duga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG London. Ya, sebagai pelatih. Bermakna saya berada di kedudukan paling bawah.

“Selain bidang tugas asas, saya juga bertanggungjawab pada tugas sampingan. Sayalah gadis PowerPoint, gadis fotokopi, gadis kopi dan gadis penghantar, selain beberapa tugas lain,” katanya lagi.

Nooryana Najwa memaklumkan dia berkhidmat sebagai pelatih selama 11 bulan, sebelum dinaikkan pangkat sebagai penganalisis sepenuh masa dan dipindahkan ke TPG Hong Kong dan bekerja selama 18 bulan.

“Saya kemudian meninggalkan TPG pada Jun 2015 untuk memberi fokus pada perniagaan dan permohonan menyambung pengajian,” katanya.

Media semalam melaporkan, Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah memberitahu, satu pertemuan antara Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, berlangsung pada 2009 yang membawa kepada satu agenda.

Leissner mendakwa, sebagai balasan kepada perniagaan lumayan, peluang kerja diberikan untuk tiga anak Najib di bank pelaburan multinasional AS berkenaan.

Leissner yang juga saksi penting dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng, memberitahu perkara itu kepada juri di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York.

Ng dituduh mengaut AS$35 juta (RM146 juta) sebagai ‘sogokan secara rahsia’ dalam dakwaan kecurian berbilion dolar wang pelaburan 1MDB milik Malaysia.

Leissner memaklumkan, BNM membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok supaya ia terlaksana.

Difahamkan, AS$D1 bilion itu termasuk AS$700 juta bagi anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

BERITA BERKAIT
POPULAR