Anak kecil derita kerana Covid-19, sendirian terpaksa guna ventilator

Kanak-kanak ini memerlukan ubat mencairkan darah, steroid, ubat antiviral dan antibiotik sebelum diintubasi. - Gambar dirakam daripada klip video

Sanggupkah melihat anak atau cucu anda menjalani proses memasukkan tiub ke dalam mulut hingga ke saluran udara untuk membantunya bernafas, akibat kecuaian keluarga tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19?

Jika tidak ingin perkara itu berlaku maka lebih baik berhati-hati kerana kes jangkitan Covid-19 membabitkan kanak-kanak semakin meningkat sebagaimana laporan bahawa 1,078 atau 18 peratus daripada 5,921 pesakit di Kelantan terdiri daripada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Doktor Pediatrik Hospital Sungai Buloh, Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi berkata pada awal tahun ini kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak hanya mencapai kategori 3 iaitu pneumonia tanpa perlu oksigen.

“Tetapi varian sekarang telah menyebabkan kanak-kanak mendapat kategori 4 dan 5. Di Kelantan, ada (kanak-kanak) yang perlu diintubasi,” katanya.

Untuk rekod, intubasi adalah proses memasukkan tiub, yang dikenali sebagai tiub endotrakeal (ET), melalui mulut dan kemudian ke saluran udara.

Ini dilakukan agar pesakit boleh diletakkan pada ventilator untuk membantu bernafas semasa anestesia , ubat pelali, atau penyakit yang teruk. Tiub itu kemudian disambungkan ke ventilator, yang mendorong udara ke dalam paru-paru untuk menyampaikan nafas kepada pesakit.

Sambil mengingatkan bahawa nyawa anak tidak boleh diganti beliau mengingatkan bahawa kanak-kanak tidak mendapat vaksin sebagaimana orang dewasa.

Pada masa sama Dr Siti Sarah turut berkongsi senario yang berlaku susulan meningkatnya kes meninggal dunia di luar hospital atau Brought In Dead (BID).

Beliau memberikan tiga senario iaitu yang pertama membabitkan individu bergejala seperti demam dan batuk yang kemudian mendapatkan ubat di klinik tanpa melakukan saringan Covid-19.

“Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah,” katanya.

Dalam senario kedua beliau berkata, pesakit didapati positif Covid-19 dan dilaporkan oleh klinik swasta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“(Pesakit) ditemui meninggal di dunia di rumah sebelum dihantar ke PKRC atau hospital,” katanya.

Bagi senario ketiga Dr Siti Sarah berkata, individu mengalami hilang deria rasa dan sangat letih tetapi tidak mengambil serius gejala-gejala itu.

“Hanya berehat di rumah. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah,” katanya.

Semua kes kematian ini kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca.

Sehubungan itu Dr Siti Sarah menasihatkan masyarakat supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan duduk di rumah dan keluar jika ada keperluan penting.

“Jika bergejala, buat ujian saringan untuk rawatan awal,” katanya.

POPULAR