Ambiga biadab persoal integriti Agong pilih PM, laporan polis dibuat

Tuduhan bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan bahawa sokongan diberikan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada calon Perdana Menteri (PM) sebagai tidak sah, adalah tindakan biadab dan bongkak.

Gerakan Peguam Islam SeMalaysia berpendapat kenyataan peguam itu juga telah menimbulkan syak dan menyoal integriti proses pelantikan PM oleh Yang di-Pertuan Agong yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Beliau (Ambiga) telah secara bongkak mengisytiharkan melalui akaun twitter pada 19 Ogos 2021 yang turut dilaporkan oleh portal berita bahawa sokongan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional bagi PM baru yang telah disampaikan kepada YDPA adalah tidak sah.

“Ini adalah percubaan menganggu proses perlantikan yang sedang dijalankan dan adalah amat biadab,” kata gerakan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, gerakan berkenaan akan membuat laporan polis terhadap peguam Pakatan Harapan (PH) itu di seluruh negara demi menjaga keselamatan negara.

“Secara langsung ini (tuduhan Ambiga) adalah juga satu tindakan menggugat demokrasi berparlimen (undermining parliamentary democracy).

“Ambiga telah melakukan kesalahan yang amat serius di bawah Akta Hasutan, Seksyen 124 Kanun Keseksaan serta Sosma, Sek 505 Kanun Keseksaan serta undang-undang lain.

“Laporan-laporan polis akan dibuat terhadap anasir ini demi keselamatan negara dan ummah di seluruh negara,” kata gerakan itu.

Semalam, Ambiga dan beberapa individu lagi berkata sokongan bersyarat daripada PN kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap tidak sah kerana meletakkan syarat.

“Sokongan bersyarat oleh (PN) tidak boleh dikira sebagai sokongan […] Bagaimana kerajaan boleh stabil jika syarat untuk mendapat sokongan tidak dipenuhi?” katanya dalam satu siri catatan di Twitter semalam.

Bagaimanapun, dalam kenyataan hari ini Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju mengingatkan bahawa syarat sokongan yang dikenakan terhadap Ismail Sabri jika dilantik menjadi PM bertujuan mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih demi kebaikan rakyat dan negara.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan itu dengan syarat bagi membentuk kerajaan yang bersih – dengan memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik bukan daripada individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Pemisahan kuasa, kebebasan kehakiman dan menegakkan sistem raja berperlembagaan. Dakwaan PH bahawa ini membatalkan sokongan PN terhadap Ismail Sabri, adalah tidak masuk akal,” kata Ali Biju.

BERITA BERKAIT
POPULAR