
Amber Chia.
Sambutan Tahun Baru Cina kali ini pastinya berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Ini kerana masyarakat perlu menyambutnya dengan norma baharu dan sederhana berikutan penularan pandemik Covd-19.
Namun bagi supermodel, Amber Chia, 40, dia bersyukur kerana tahun ini dia masih dapat meraikan perayaan ini bersama keluarga memandangkan ibu bapanya kebetulan berada di rumahnya di Kuala Lumpur sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020.
“Walaupun Tahun Baharu Cina tahun ini disambut dalam norma baharu, bukan bermakna saya akan melupakan amalan tradisi masyarakat Cina. Justeru, sambutan asas itu tetap ada seperti makan malam bersama keluarga, berbaju baharu dan pemberian ang pau tetapi secara bersederhana,” kata ibu kepada seorang anak ini.
Pun begitu, Amber gembira pada tahun ini kerana dia sekeluarga dapat kunjung-mengunjung saudara dan rakan-rakan terdekat.
Berkongsi persiapan menyambut Tahun Baru Cina, Amber memberitahu, pembelian baju baru menjadi tradisi utama kerana masyarakat Cina percaya, pada permulaan tahun perlu membeli baju baru bagi menandakan tuah yang baru dan seelok-eloknya baju berwarna merah.
Selain itu, masyarakat Cina juga percaya sebelum perayaan, perlu membersihkan rumah, bagi menyambut tahun baru. Pembersihan rumah lazimnya dilakukan beberapa hari sebelum menjelang tahun baru.
“Bagi yang beragama Buddha atau Taoist akan melakukan sembahyang pada malam sebelum tahun baru bagi mengundang “Dewa Kekayaan”. Kemudian pada hari kedua Tahun Baru Cina, upacara sembahyang perlu dilakukan sekali lagi, bagi menandakan ‘pembukaan tahun baru’. Pada hari kedua tahun baru Cina, wanita yang sudah berkahwin digalakkan kembali ke rumah ibu bapa sendiri.
“Antara adat resam lain yang diamalkan, termasuklah pemberian limau Mandarin yang bunyinya dalam bahasa Mandarin sama dengan ‘emas’. Ini bermakna pemberian limau seolah-olah menghadiahkan emas pada orang lain,” katanya.
Selain itu, Amber sekeluarga akan menyediakan makanan mewah menjelang Tahun Baru Cina iaitu Yee Sang yang diperbuat daripada potongan ikan terutamanya ikan salmon segar, kacang tanah, cili, lobak putih, lobak merah, halia, daun limau purut, daun parsli cina, biji bijan bakar dan udang kering goreng. Kuahnya atau penambah rasanya pula diperbuat daripada sos plum.
Dalam pada itu, Amber berpesan agar orang ramai mengambil vaksin dan menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk memakai topeng muka (mask), sentiasa membersih tangan dan menjaga jarak satu meter.