Amaran serangan siber Israel, Panglima ATM sahkan laporan Agenda Daily

Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengesahkan laporan Agenda Daily berhubung amaran serangan siber Israel ke atas rangkaian Malaysia.

Dedahnya, arahan dan langkah yang dikeluarkan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM seperti yang dilaporkan oleh portal ini juga merupakan arahan amalan biasa untuk peringatan.

Menurutnya lagi, susulan itu tindakan serta langkah-langkah sewajarnya yang perlu dilaksanakan oleh pentadbir sistem siber sebagai langkah menangani apa juga kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber ATM serta kementerian pertahanan.

“Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkat aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC).

“BSEP dan CDOC bukan sahaja memperkukuh rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan CDOC ATM memberi amaran kepada semua agensi dan orang ramai kemungkinan serangan balas penyokong rejim Zionis Israel ke atas rangkaian dan infrastruktur siber di Malaysia.

Amaran itu dikeluarkan susulan #OpsBedil dan #OpsIsrael yang dilancarkan beberapa kumpulan dari Malaysia ke atas kira-kira 120 laman dan pangkalan data rejim Zionis itu sejak beberapa hari lalu, setelah tentera Israel melancarkan serangan berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.

Pada masa sama CDOC ATM turut mengesahkan terdapat peningkatan aktiviti serangan balas dipercayai dilakukan kumpulan penyokong rejim Zionis Israel ke atas infrastruktur siber ATM.

Menurut dokumen yang dilihat oleh Agenda Daily, lebih 120 laman dan pangkalan data telah digodam dan puluhan ribu akaun media sosial Malaysia memenuhi ruangan komen akaun media sosial Israel, terutama Facebook dan Twitter Tentera Pertahanan Israel (IDF) untuk mengutuk serangan Zionis terhadap rakyat Palestin.

Untuk rekod, laman sesawang Agenda Daily turut menjadi mangsa serangan dan penggodaman pihak tidak bertanggungjawab sejak 10 Mei lalu.

Serangan ke atas Agenda Daily dipercayai dilakukan kumpulan penyokong rejim pengganas Israel, selepas portal berita ini terus melaporkan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, khususnya berhubung dua laporan berita Agenda Daily yang dikongsi lebih 176,000 pembaca dalam ratusan kumpulan WhatsApp, Twitter dan Facebook, di Malaysia dan Indonesia.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kgJune 12, 2021