
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini (17 Januari 2023) mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa kawasan di Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 1.10 petang tadi, MetMalaysia menyatakan keadaan cuaca yang sama juga dijangka berlaku di Pahang (Pekan dan Rompin), dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, dan Johor Bahru) dari 19 Januari hingga 21 Januari.
Amaran sama dikeluarkan di seluruh Kelantan dan Terengganu, serta Kuantan, Pahang, dari 20 Januari hingga 22 Januari, menurut laporan Bernama.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan berasingan menggesa negeri-negeri mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Jawatankuasa juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan sementara dilengkapi dengan keperluan asas dan bilik kawalan operasi mempunyai semua sumber operasi yang mencukupi dan berada dalam keadaan baik dan sedia untuk digunakan,” katanya.
Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Kebangsaan (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.