
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) atau daerah (JPBD) perlu diaktifkan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini (7 Januari 2023) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan.
Dalam kenyataannya, MetMalaysia berkata di Kelantan, kawasan dijangka terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu, ia melibatkan sekitar Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di Sabah bermula 9 hingga 11 Januari ini, melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) atau Daerah (JPBD) hendaklah diaktifkan, dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu.
MetMalaysia turut memohon JPBN atau JPBD memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas manakala Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan bersedia untuk digunakan.
Katanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
Sementara itu, sehingga jam 2 petang ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di Kota Setar, Kedah melepasi paras bahaya apabila mencatat bacaan 1.72 meter (m) berbanding 1.30m paras normal.