
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sub-varian Omicron BA.5 sudah dikesan di Malaysia, sambil menjangkakan kemungkinan gelombang keempat Covid-19 bakal melanda negara tidak lama lagi.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media khas hari ini meminta orang ramai yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak untuk segera berbuat demikian.
Semalam (7 Julai 2022), jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara melonjak kepada 4,020 kes tertinggi sejak April, berbanding 3,561 kes yang dilaporkan pada Rabu.
Data laman sesawang Github KKM bagaimanapun menunjukkan, daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 2,966 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.
Ia diikuti dengan 753 kes melibatkan penerima dua dos; 274 kes (individu yang tidak divaksinasi); dan 27 kes (individu belum lengkap divaksinasi).
Mengulas lanjut Khairy berkata peningkatan kes Covid-19 di dunia termasuk Malaysia sudah dijangka kerana ia didorong oleh beberapa faktor terutamanya varian dominan.
” Lebih dua juta individu dewasa yang layak tetapi memilih untuk tidak menerima dos penggalak kedua,” katanya.
Oleh itu, katanya individu yang punyai komorbiditi akan dapat pautan temujanji bagi suntikan dos penggalak kedua dalam MySejahtera masing-masing minggu depan
Pada masa sama beliau berkata sehingga 3 Julai lalu seramai 4,001 pesakit Covid-19 telah diberi ubat antiviral Paxlovid, dengan tiada kesan sampingan serius dilaporkan.