ALR Berhad ambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang

Lebih banyak syarikat konsesi lebuh raya akan terlibat dengan rundingan penstrukturan semula bagi mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan kerajaan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya kerajaan juga mengalu-alukan syarikat swasta mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya lain bagi tujuan tersebut.

“Kerajaan mengalu-alukan pihak swasta untuk tampil dengan terma sedemikian, yang mana syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada kerajaan sejurus melunaskan hutang kewangannya, ini satu kelegaan kepada rakyat.

“…akan ada rundingan penstrukturan yang melibatkan konsesi lebuh raya lain selepas ini,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat konsesi iaitu Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

Selain itu, ia juga melibatkan syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara – Puchong (LDP).

Susulan pengambilalihan 100 peratus syarikat swasta, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) ke atas keempat-empat syarikat konsesi itu, kadar tol yang dikendalikan di bawah kesemua syarikat tersebut tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

Penstrukturan itu juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi serta penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

Fadillah bagaimanapun berkata tarikh pengambilalihan itu berkuat kuasa masih belum dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata penstrukturan juga akan melibatkan pelanjutan tempoh konsesi bagi tiga syarikat tersebut kecuali SMART yang akan dipendekkan tempoh konsesinya.

“Namun lanjutan tempoh konsesi ini bukanlah hak eksklusif syarikat konsesi dan tertakluk kepada bilangan trafik serta pantauan pihak kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Fadillah berkata melalui kaedah penstrukturan semula itu, tiada lagi pemegang saham berorientasikan keuntungan yang akan melibatkan pulangan kepada pemegang saham dalam apa jua bentuk seperti dividen.

Beliau berkata kerajaan juga tidak boleh mengabaikan obligasi dalam perjanjian konsesi sedia ada kerana ia akan memberi imej negatif kepada pelabur sehingga menyebabkan kekurangan minat mereka untuk melabur di negara ini.

“Ini selaras dengan Dasar Penswastaan…syarikat swasta masih lagi bertanggungjawab mengendalikan operasi dan menyenggara lebuh raya berkenaan,” katanya sambil menambah ALR juga perlu menyerap semua kakitangan sedia ada di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkenaan.

Beliau berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi pengambilalihan tersebut serta tidak memberi sebarang jaminan untuk pembiayaan oleh ALR bagi cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi itu.

Kerajaan juga tidak perlu menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi dengan penstrukturan semula KESAS, LDP, SPRINT dan SMART, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR