Allah laknat pengundi pilih pemimpin, pengamal rasuah

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat yang melantik dan mengundi pemimpin rasuah atau memilih individu yang mengamalkan rasuah, akan dilaknat Allah

Menurutnya bencana yang diikuti dengan penyakit rasuah menjadi suatu wabak, bermula daripada golongan atasan sehinggalah kelompok paling bawah, sebelum datang penyakit kemungkaran yang lebih parah.

“Datangnya bertalu-talu, apabila pagarnya memakan padi serta apabila rakyat dibeli dan pemimpin juga dapat dibeli,” katanya dalam kenyataan hari ini, tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung bermula dengan hari penamaan calon pada 26 Februari 2022 ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata wabak itu akan disusuli dengan penyakit masyarakat yang datang secara bertalu-talu dan bertali arus, sehingga memusnahkan semuanya, khususnya apabila ia turut merosakkan pembangunan termasuk alam sekitar.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, adalah mustahil negara yang masih mengamalkan politik wang dapat menghapuskan rasuah, kerana wabaknya menjadi payung negara.

Pencegahannya kata beliau, sekadar laksana menampar nyamuk di kawasan yang dibiarkan longkangnya terdedah sehingga membiakkan nyamuk berkali ganda banyaknya.

Beliau memberi amaran bahawa rakyat yang memilih pemimpin kerana politik wang yang berkonsepkan kebendaan pasti akan menempah kemusnahannya.

“Hal ini berlaku setelah urusan mereka dijual beli dengan rasuah dan penipuan, semata-mata untuk mengejar kemewahan yang melampau kerana sudah tidak bermoral lagi.

“Bahkan, mereka juga sekadar bergembira pada masa kehidupan dunia yang pendek, tetapi berdukacita dalam tempoh masa yang panjang. Begitu juga, mendapat kecelakaan buat selama-lamanya sekiranya tidak bertaubat dengan kembali kepada petunjuk Allah SWT.

“Maka, Allah SWT melaknat pelaku, penerima, pemberi dan semua yang terlibat dengan rasuah, termasuklah rakyat yang melantik atau mengundi pemimpin dengan rasuah dan memilih yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Sebaliknya Abdul Hadi berkata, Islam menunjukkan pendekatan politiknya dengan meletakkan rukun kehidupan manusia itu mengikut tertib maqasid al-syari‘ah ialah memelihara agama, akal, keturunan, maruah dan harta.

Pada masa yang sama, katanya Islam meletakkan syarat integriti syakhsiah berprinsipkan akidah agama, akhlak dan ilmu bermanfaat menjadi konsep tanpa mendahului harta.

“Hal ini demikian kerana, harta tanpa syakhsiah yang berintegriti tidak akan mampu menguruskan harta dan masyarakatnya. Akan tetapi, harta boleh dihasilkan dengan kemampuan ilmu dan syakhsiah yang berintegriti.

“Harta kekayaan sahaja tanpa integriti boleh merosakkan dan menghabiskan harta dengan sia-sia. Ilmu tanpa integriti menjadikan seseorang itu penipu, semuanya akan merosakkan diri, masyarakat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon adalah pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN itu adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari 2022.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 2,597,742 orang pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa, 10,955 orang anggota tentera dan pasangan, 11,576 orang anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Artikel lengkap di ruang rencana.

BERITA BERKAIT
POPULAR