Aliff Syukri beri keterangan lima jam, mohon maaf isu klip video

Usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini memberi keterangan hampir lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikatakan kontroversi.

Beliau dengan memakai kot kelabu serta berseluar hitam tiba di SKMM pada jam 9.58 pagi dan keluar pada jam 2.41 petang, lapor Bernama.

Ditemui pemberita usai memberi keterangan, Aliff Syukri memohon kemaafan daripada masyarakat yang tersinggung dengan video berkenaan dan meminta supaya tidak melibatkan keluarganya dalam perkara itu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, terima kasih kepada SKMM kerana memberi layanan yang baik.

“Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya.

“Saya memohon supaya jangan babitkan keluarga saya, mak saya. Mak saya sedang mengerjakan umrah.

“Jangan salahkan isteri saya kerana dia tidak bersalah. Jangan salahkan bonda, bonda tidak bersalah,” katanya.

Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata SKMM telah memberi notis kepada individu yang dikenal pasti dalam video berkenaan untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

Menurut Annuar, penelitian peringkat awalan SKMM mendapati ada sebab untuk siasatan dilaksanakan dan susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata yang tidak sesuai untuk tontonan ramai lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

Klip video raya berkenaan yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontontan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebelum ini mendesak MCMC menarik atau memadam video muzik hari raya menampilkan usahawan kosmetik terkenal baru-baru ini, yang jelas mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata selain itu, MCMC juga digesa mengambil tindakan sewajarnya di bawah akta suruhanjaya itu, agar tindakan biadab seumpama itu tidak berulang, terutama oleh individu sama, khususnya di dalam bulan Ramadan.

BERITA BERKAIT
POPULAR