Akta Antilompat Parti: Mat Sabu ancam buat desakan di jalan raya

Presiden AMANAH Mohamad Sabu membayangkan kemungkinan beliau akan sekali lagi turun ke jalanan bersama rakan-rakan yang lain untuk mendesak Parlimen membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Kota Raja itu berkata akta itu mesti disegerakan supaya demokrasi yang subur dapat dipraktikkan di Parlimen.

“Inilah yang menjadi halangan terbesar sekarang. Kalaulah Akta Antilompat Parti tidak diperkenalkan kali ini ataupun dalam sidang khas Parlimen, saya dan rakan-rakan barangkali akan kembali semula ke jalan raya untuk mendesak, sebab kita melihat apa yang kita cakap di Parlimen kadang kala ianya tidak dipedulikan.

“Oleh itu, amat penting untuk disegerakan soal Akta Antilompat Parti ini. Jangan main-main sebab perkara ini adalah perkara yang begitu mendesak.

“Kalau tidak mahu dengar juga, maka kita lihatlah negara kita akan berada dalam kegelapan dan penghormatan kepada sistem Parlimen demokrasi ini tidak lagi menjadi satu penghormatan yang ada sebelum ini,” katanya membahaskan RUU Perbekalan Tambahan (2021) di Dewan Rakyat, hari ini.

Senada dengan beliau, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata RUU itu mesti dibentangkan segera di Dewan Rakyat walau dalam apa cara dan keadaan sekalipun.

Beliau menegaskan, yang penting ialah RUU itu dibentangkan dahulu dan sebarang perubahan boleh dilakukan apabila ia dibentangkan pada peringkat jawatankuasa kelak.

“Hari ini, saya sokong beliau (Mohamad Sabu) tetapi cuma 80 peratus sajalah dan tidak 100 peratus kerana dalam ucapannya dikatakan penyebab kepada ketidakstabilan politik kerana PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional).

“Walhal sebenarnya yang tidak stabil hari ini kerana pergaduhan antara mereka, iaitu PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Nazri berkata akta itu mesti dibentangkan juga di Dewan Rakyat dalam apa bentuk sekali pun dan kemudian boleh dilakukan penambahbaikan pada peringkat jawatankuasa.

“Bentangkan dalam apa bentuk sekalipun, mesti masukkan akta itu dalam Dewan Rakyat dan kalau ada apa-apa kelemahan, boleh ‘tune’ apabila bentang nanti pada peringkat jawatankuasa. Kita boleh tambah yang mana dirasakan tidak adil. Apapun, akta itu mesti dibentangkan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR