
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin meraih emas, pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin setelah berjaya merangkul emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata seluruh peminat sukan tanah air pastinya sedang meraikan kejayaan Malaysia meraih pingat emas pertama yang disumbangkan Bonnie Bunyau sebentar tadi.
“Keupayaan melakukan angkatan menakjubkan sehingga lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang di arena membuktikan anda sememangnya layak dipertaruhkan sebagai antara prospek utama memenangi pingat emas pada edisi kali ini.
“Aksi mengagumkan sehingga memecahkan rekod Paralimpik pastinya akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sukan negara. Tahniah buat Bonnie, barisan kejurulatihan serta seluruh kontinjen Malaysia,” kata Muhyiddin dalam media sosialnya hari ini.
Bonnie bukan setakat merangkul emas, sebaliknya dengan angkatan terbaik 228 kilogram beliau sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro.
Bonnie yang turun selaku pemegang rekod dunia di Tokyo International Forum, mendahului saingan sejak daripada angkatan pertama dengan dia bermula dengan angkatan 217kg, 225kg, 228kn sebelum percubaan keempat untuk memecahkan rekod dunia miliknya pada angkatan 231kg gagal.
Tempat kedua milik atlet dari Mesir, Mahmoud Attia dengan angkatan 191 kg manakala gangsa dimenangi Micky Yule, Great Britain, 182 kg.