
Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dibubarkan dan semua tugas akan diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Gambar PDRM
Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan dan semua tugasnya kini diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua tugas berkenaan dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenterawam Awam (KDNKA) membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac lepas telah bersetuju dengan cadangan rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah PDRM. Selain itu, Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan ini dilaksanakan.
“Pelaksanaan penstrukturan semula AKSEM ke dalam PDRM akan dilaksanakan secara berfasa mulai hari ini sehingga 30 September tahun ini,” katanya pada sidang media majlis penyerahan tugas AKSEM kepada PDRM di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata penstrukturan semula AKSEM merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia serta pengurusan kewangan dan perolehan.